Jarak 22.13 kilometer, ini kisah terowong lebuhraya paling panjang di dunia

Oleh SHUHADA BUSTAMAN

Terowong Tianshan Shengli, yang kini diiktiraf sebagai terowong lebuh raya terpanjang di dunia, telah berjaya ditembusi pada pagi ini,

Dan membuka laluan baru yang menghubungkan bahagian selatan dan utara Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang di China.

Pembukaan terowong sepanjang 22.13 kilometer ini menandakan satu lagi pencapaian besar dalam pembangunan infrastruktur negara, lapor Xinhua.

Apabila beroperasi sepenuhnya, terowong ini akan mengurangkan masa perjalanan merentasi Pergunungan Tianshan yang mencabar dari beberapa jam kepada hanya sekitar 20 minit sahaja.

Ini adalah sebahagian daripada projek Lebuh Raya Urumqi-Yuli yang merentasi laluan dari ibu kota Urumqi di utara Xinjiang ke daerah Yuli di selatan.

Jarak 22.13 kilometer, ini kisah terowong lebuhraya paling panjang di dunia

Projek lebuh raya ini dijangka siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada 2025. Dengan pembukaan laluan ini, masa perjalanan antara dua lokasi utama ini akan dipendekkan dengan ketara, daripada tujuh jam kepada hanya lebih tiga jam.

Kecekapan yang luar biasa ini akan memberikan kemudahan kepada pemandu, terutamanya bagi mereka yang kerap melakukan perjalanan antara kedua-dua lokasi tersebut.

Bagi Qadir Abliz, seorang pemandu trak dari Urumqi yang sering merentasi jalan berliku dan berbahaya di Pergunungan Tianshan, projek ini memberi kelegaan besar.

“Dulu, musim sejuk membawa banyak kesukaran. Trak-trak sering terkandas di jalan yang beku. Dengan terowong ini, saya tak perlu lagi risau menghadapi masalah tersebut,” katanya.

Pembinaan terowong ini bermula pada April 2020 dan telah menghadapi pelbagai cabaran hebat, termasuk cuaca ekstrem, ketinggian yang tinggi, tekanan tanah yang kuat, serta risiko gempa bumi.

Menurut jurutera utama projek, Mao Jinbo, terowong ini melintasi 16 zon sesar geologi di Pergunungan Tianshan, yang digelar sebagai ‘muzium geologi’. Salah satu cabaran terbesar adalah penggaliannya pada kedalaman 706 meter, melebihi ketinggian Menara Shanghai, bangunan tertinggi di China.

Untuk mengatasi kesukaran tersebut, pembinaan terowong dibahagikan kepada beberapa segmen kecil agar proses penggalian dapat dipercepatkan. Taktik ini berjaya memendekkan masa pembinaan sebanyak 25 peratus berbanding jadual asal.

Selain itu, perhatian juga diberikan kepada aspek alam sekitar. Projek ini telah dirancang dengan teliti untuk meminimumkan impaknya terhadap Glasier Tianshan No 1 dan habitat harimau salji yang berada di sekitar kawasan terowong.

Sistem pengurusan air sisa yang efisien serta penggunaan semula kerikil telah dilaksanakan untuk memastikan kelestarian alam sekitar terjaga sepanjang pembinaan.

Dengan pembukaan terowong Tianshan Shengli ini, rakyat Xinjiang akan menikmati perjalanan yang lebih lancar dan efisien, sekaligus merangsang lagi perkembangan ekonomi dan sosial di kawasan ini.

BACA: Taksub artis KPOP, remaja nekad culik diri sendiri demi wang tebusan biaya kos ke Korea