“Jangan ulangi lagi polemik RUU355, menang sorak kampung tergadai”

RUU355

“Jangan ulangi lagi polemik RUU355, menang sorak kampung tergadai”.Adun Amanah Faiz Fadzil meminta PAS untuk tidak menggunakan rang undang-undang (RUU) Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang dirangka untuk membakar api perkauman.

Menurut Adun Permatang Pasir itu, RUU tersebut bukanlah sesuatu yang baru memandangkan enakmen berkenaan perkara itu telah ada di hampir semua negeri.

“Akta baru yang dicadangkan ini adalah satu undang-undang sedia ada selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan tidak seharusnya dijadikan polemik politik untuk mewujudkan keresahan dan ketegangan kaum dalam kemajmukan Malaysia.

“Maka, PAS tidak seharusnya menggunakan undang-undang ini untuk dijadikan candu politik atau gasolin membakar api perkauman.

“Kegagalan PAS meminda Akta 355 sehingga sekarang adalah bukti kegagalan kerajaan persekutuan mengangkat martabat agama Islam walaupun sudah 18 bulan PAS menjadi kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

RUU355

Kata Faiz, di peringkat negeri, hanya Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang tiada undang-undang sedemikian.

Terdahulu, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama Islam), Ahmad Marzuk Shaary memaklumkan terdapat 11 RUU syariah baru yang sedang digubal, termasuk RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam.

Dia berkata beberapa undang-undang sedia ada juga akan dipinda, sebagai sebahagian daripada pelan kerajaan untuk memperkasakan undang-undang syariah di Malaysia khususnya di Wilayah Persekutuan – termasuk Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Untuk rekod, Ahmad Marzuk pada Mac telah memaklumkan perkara sama.

RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam untuk Wilayah Persekutuan itu nanti dikatakan bakal menjadi landasan buat negeri lain menambah baik enakmen sedia ada, menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pada masa sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam berkata sejumlah RUU tersebut perlu mendapat persetujuan negeri-negeri terlebih dahulu sebelum dibawa ke Kabinet.

Dalam pada itu, Faiz berkata RUU itu terpakai bagi menyekat penyebaran agama bukan Islam ke atas orang Islam, tetapi bukan untuk menyekat penyebaran agama bukan Islam terhadap warga bukan Islam lain, selaras Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa “tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya”.

Faiz juga menyuarakan sokongan terhadap RUU berkenaan yang menurutnya dapat membendung konflik agama yang sensitif, selain langkah awal bagi memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan terjamin dan dilindungi.

Bagaimanapun, dia menggesa menteri agama mengadakan rundingan dan libat urus dengan pemegang taruh terlebih dahulu supaya penggubalannya tidak menjadi polemik politik berbaur perkauman sempit, sebaliknya dapat menjadi pelaksanaan undang-undang yang menjamin keharmonian hubungan antara kaum dan agama dalam negara.

“Jangan ulangi lagi polemik RUU355; menang sorak kampung tergadai,” katanya lagi.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/590488

BACA: Akta sekat agama bukan Islam : Pengumuman Timbalan Menteri Agama timbulkan keresahan

COMMENTS