Jangan lagi kelaskan perniagaan perlu dan tak perlu, perlu berasas penilaian risiko

Jangan lagi kelaskan perniagaan perlu dan tak perlu, perlu berasas penilaian risiko. Kerajaan perlu menghapuskan pendekatan kategori perniagaan perlu dan tidak perlu, sebaliknya membuka pelbagai sektor ekonomi berasaskan penilaian risiko, cadang PKR.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, partinya melihat pengelasan kategori perniagaan perlu dan tidak perlu dalam industri mahupun perkhidmatan sebagai langkah bertindih selepas lapan minggu menempuh pelbagai perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana semua sektor industri berkenaan adalah perlu.

“Kita mencadangkan pengelasan semula industri dan perkhidmatan yang menetapkan aktiviti ekonomi mengikut tahap risiko tinggi atau risiko rendah.

“Bagi melaksanakan langkah itu, kerajaan mesti membangunkan prasarana pengumpulan data bagi menilai risiko ketika ini dan disokong kekerapan berkala ujian pengesanan jangkitan (Covid-19) secara besar-besaran bagi sektor industri dan perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

perniagaan

Cadangan berkenaan adalah antara senarai panjang cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan selepas pertemuan dengan Menteri Kewangan di Putrajaya, semalam.

Wong membentangkan kedudukan serta kebimbangan PKR berhubung isu pemulihan nasional dan dasarnya, selain menggariskan empat fokus membabitkan kesihatan awam, ekonomi, bajet serta kewangan dan proses pelaksanaan.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah dan enam pegawai kanan kementerian berkenaan, selain dua lagi Ahli Parlimen PKR.

Dalam pada itu, Wong memaklumkan dalam perbincangan terbabit bahawa tiada penyelesaian cepat ekonomi dapat dicapai dan kerajaan perlu segera berhenti mengambil pendekatan “peluru perak” (rancangan segera menyelesaikan semua masalah), sebaliknya memfokus untuk menambah baik asas pemulihan nasional.

Katanya, perkara asas adalah seperti memberi model ekonomi dan data berguna, ujian pengesanan lebih baik, prosedur operasi standard lebih baik merangkumi kepatuhan awam dan kejayaan pemberian vaksinasi.

Beliau berkata, tunjang utama krisis ekonomi berlaku disebabkan kegagalan dasar kesihatan awam dan piawaian pelaksanaan yang rendah.

“Justeru, apa sahaja pelan pemulihan nasional mesti menanggapi masalah pertama, iaitu kegagalan sistem kesihatan awam,” katanya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/16/buka-sektor-perniagaan-berdasarkan-penilaian-risiko-kata-pkr/

Jika terlepas: Kedai komputer, telekomunikasi, alat tulis diberi kebenaran operasi semula