Ahli PKR jangan bersikap taksub pada pemimpin, kata Anwar

Semua ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) diingatkan supaya jangan bersikap taksub kepada seorang pemimpin atau kumpulan kerana tindakan itu hanya akan membawa kepada pemikiran tidak taat kepada parti.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketaasuban itu juga akan membawa kepada tindakan yang tidak ‘selari’ dengan keputusan pimpinan parti.

“Kelemahan kita ini adalah kadang-kadang kita ini terlalu taasub dengan ketua sama ada saya atau yang lain.

“Oleh yang demikian, fikiran kita tidak lagi taat kepada jemaah dan kepimpinan tetapi kita izinkan wujudnya kelompok-kelompok,” katanya ketika menggulung perbahasan Kongres Nasional Tahunan PKR 2020 yang berlangsung secara maya hari ini.

Kongres Tahunan PKR | PKR kekal prinsip bawa perubahan politik

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menegaskan bahawa bagi pihak yang tidak bersetuju dengan ketetapan jemaah parti, perkara tersebut boleh dibawa berbincang manakala mereka yang dahulunya merupakan sebahagian daripada ‘kartel’ juga harus diberikan ruang.

Terdahulu, semasa sesi perbahasan, perwakilan Kedah Razaini Md Isa mencadangkan supaya presiden parti mengadakan jajaran baharu bersama pelbagai pihak bagi meringankan bebanan rakyat yang terkesan ekoran COVID-19 dan melaksanakannya dengan pihak yang menerima prinsip perjuangan PKR.

“Kita minta presiden dengan prerogatif beliau, kita beri wewenang (hak atau kekuasan) untuk presiden laksanakan dan lipatgandakan usaha dapatkan kembali mandat rakyat serta mengutamakan nasib rakyat terbanyak berbanding kepentingan politik dan peribadi,” katanya.

Perwakilan Melaka Muhammad Asri Ibrahim pula merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang telah berkorban masa dan tenaga sepanjang pandemik COVID-19.

Beliau turut mencadangkan supaya masjid dan dewan serba guna sedia ada di seluruh negara dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) bagi membolehkan negara segera mencapai imuniti kelompok.

“Saya juga ingin cadangkan kepada kerajaan agar semua penjawat awam yang telah memberikan khidmat dengan penuh tanggungjawab sepanjang pandemik ini diberikan insentif penebusan gantian cuti rehat (GCR) bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Sesi perbahasan yang berlangsung sepenuhnya secara dalam talian itu disertai 16 pembahas dari seluruh negara.

Terdahulu, kira-kira 2,000 perwakilan menyertai kongres itu secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom bermula 8 pagi.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/ahli-pkr-diingat-tidak-taasub-kepada-pemimpin-anwar-304143

COMMENTS

Wordpress (0)