Jangan asyik nak salahkan kerajaan sahaja, kata Hamzah

Jangan asyik nak salahkan kerajaan sahaja. Kerajaan dan agensi terbabit tidak wajar dipersalah jika pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dalam kalangan rakyat tidak lagi dipatuhi sepenuhnya susulan kelonggaran yang diberikan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tugas Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensinya bukan sekadar memastikan orang ramai atau pihak majikan mematuhi SOP, sebaliknya terdapat tugas lebih besar perlu diutamakan.

Beliau berkata, amalan memakai pelitup muka dan patuh SOP diperkenal sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, sepatutnya sudah menjadi norma baharu dalam kalangan rakyat ketika ini.

“Saya mewakili Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertanggungjawab terhadap pematuhan SOP, tetapi kerja kita bukan hanya jaga SOP, namun melihat kedudukan kehidupan seharian menjadi benar-benar seimbang.

“Kalau kita hanya kerja menyekat orang, kesalahan tak ikut SOP, itu adalah sesuatu amat kecil. Kalau kilang dibenarkan beroperasi, yang sepatutnya menjaga SOP pihak pengurusan.

kerajaan

“Tetapi mengapa pula kita salahkan kerajaan kerana tak menjaga SOP, sepatutnya majikan mula jaga, apabila majikan tidak jaga dan ada sesuatu kita kurang senang, laporkan kepada kita dan kita akan hantar pasukan periksa,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan dan menerima taklimat berkaitan bencana kepala air dan banjir lumpur yang melanda Yan, Gurun dan Merbok di Kuala Muda pada 18 Ogos lalu.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Limau, Mohd Azam Abdul Samat.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, semua pihak bermula pemimpin peringkat bawahan sehingga atasan perlu bekerjasama mematuhi SOP selain menasihatkan orang ramai turut sama melakukannya.

“KDN akan sentiasa membantu memastikan keselamatan terjaga. SOP ini semua pihak harus sedar dan bertanggungjawab bersama.

“Kita mempunyai peranan lain seperti jaga sempadan negara, jaga pintu masuk, kesan mereka yang cuba ceroboh sempadan bawa dadah, itu adalah sesuatu dipertanggungjawab kepada KDN,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan tidak timbul isu dalam kalangan pegawai dan kakitangan KDN enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 apabila 96 peratus warganya sudah mendapatkan dos masing-masing.

“Sebagai petugas barisan hadapan, kita sudah pastikan lebih 91 peratus warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat vaksin, malah kakitangan Jabatan Penjara Malaysia sudah hampir 100 peratus divaksin.

“Kita tidak mahu mereka membawa masalah kepada orang ramai pula, jika ada yang enggan, tindakan boleh diambil ke atas mereka,” katanya.

Beliau turut mengumumkan, perkhidmatan bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan ditempatkan di lokasi bencana bagi membantu mangsa yang kehilangan Mykad atau Sijil Kelahiran membuat permohonan baharu.

Berita Penuh : GPS, PH sokong keputusan mahkamah arah pelaksanaan undi18