Jalan banyak tutup punca makanan mangsa banjir lewat tiba – PM

Penghantaran makanan pada Sabtu agak lewat kerana banyak jalan di Selangor ditutup akibat ditenggelami air berikutan taburan hujan yang tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, laporan daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mendapati taburan hujan yang turun pada sepanjang Sabtu bersamaan dengan jumlah hujan selama sebulan.

“Sebab itulah berlaku tiba-tiba seperti itu (taburan hujan banyak), maka berlakulah kekalutan kerana tidak ada persediaan untuk berpindah rumah sehingga ada yang duduk di rumah untuk diambil oleh agensi-agensi terlibat akibat air yang naik dengan cepat.

Jalan banyak tutup punca makanan mangsa banjir lewat tiba - PM

Suasana di Persiaran Tuanku Ampuan hari ini, yang telah ditenggelami air sehingga pengguna jalan raya tidak dapat meneruskan perjalanan mereka.

“Makanan tidak dapat dihantar pada Sabtu kerana banyak jalan ditutup, ditenggelami air, kalau ada ada pun atas jalan raya dipenuhi dengan kenderaan yang tersangkut dan tidak memungkinkan dilalui untuk hantar makanan.

“Kalau di kawasan yang tidak boleh dilalui, kita akan gunakan helikopter untuk menghantar makanan kerana bagi kita, hari ini isu ini tidak sepatutnya timbul kerana semua yang berlaku semalam kita anggap selesai.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mesyuarat khas di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya memaklumkan menerima laporan tentang keadaan banjir terkini di Selangor.

Ujarnya, bilangan mangsa yang terlibat dalam banjir meningkat dari 6,000 kepada lebih 11,000 yang berada di PPS Selangor setakat Ahad, manakala jumlah pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) meningkat daripada 48 sehingga 103 buah di negeri tersebut.

“Saya difahamkan ada beberapa kawasan mungkin akan mulai surut airnya kerana dari segi laporan yang kita dapati untuk Selangor, Sungai Klang air dah semakin menurun, Sungai Selangor meningkat, Sungai Langat mendatar, tidak naik dan tidak turun.

“Bila kita ada gambaran awal seperti ini, kita boleh bersedia dari awal, jadi saya harap walaupun ada tempat yang dinaiki air di Selangor, tidak akan timbul sebarang isu seperti ini kerana kita sudah bersedia.

“Oleh kerana negeri-negeri Pantai Timur sentiasa bersedia untuk menghadapi banjir ketika musim tengkujuh, jadi isunya walaupun mungkin ada, tapi tidak seteruk Selangor kerana banjirnya datang secara tiba-tiba dan tidak pernah berlaku pun,” katanya.

BACA JUGA : Tanpa arahan NADMA, tentera nekad turun bantu mangsa banjir terperangkap
Speaker Dewan Rakyat tolak usul banjir dikemuka blok pembangkang

Artikel ini disiarkan pada 21/12/2021

COMMENTS

Wordpress (0)