Jakim seru masyarakat jangan sebar video raya judi

Jakim seru masyarakat jangan sebar video raya judi

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyeru seluruh masyarakat khususnya umat Islam agar tidak menularkan klip iklan Hari Raya promosi judi yang tular di media sosial kerana ia boleh memberikan kesan yang tidak baik.

Pada masa sama, Jakim turut menasihatkan umat Islam agar tidak terlibat dalam apa jua aktiviti perjudian termasuk membantu mempromosikan perjudian yang jelas bertentangan dengan hukum Syarak.

“Pada hari ini, telah tular satu video yang dipercayai mengandungi iklan judi sempena Hari Raya Aidilfitri. Video tersebut telah menimbulkan kegusaran dan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat khususnya umat Islam di negara ini.

“Jakim memandang serius dan menentang keras perbuatan seumpama ini sekiranya benar ia berlaku lebih-lebih lagi ketika umat Islam di negara ini sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan yang mulia ini,” kata Jakim pada Jumaat.

Justeru, Jakim menyokong usaha pihak yang berwajib dalam mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam perkara ini mengikut lunas undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/jakim-pandang-serius-iklan-promosi-judi-seru-masyarakat-tidak-tularkan-klip-video-293631