Itik lemas dalam banjir di Segamat, penternak alami kerugian

Itik lemas dalam banjir di Segamat, penternak alami kerugian.”Dalam sekelip mata air naik mendadak. Saya terkejut apabila ke ladang dan dapati itik dan telur sudah terendam.

“Saya rancang untuk pindahkan itik-itik saya menggunakan bakul tetapi bimbang keselamatan diri,” kata penternak Mohd Azim Omar, 28.

Menurutnya, dia ke ladangnya di Jalan Maryani, Kampung Jawa di sini pada 2 pagi untuk memeriksa keadaan ternakannya dan hanya mampu menyelamatkan 120 daripada 800 ekor itik pada 6.30 pagi.

Bagaimanapun, dia bimbang itik penelur itu juga tidak dapat bertahan lama kerana kesejukan melampau.

Katanya, itik peliharaannya bukan jenis yang boleh berada atau berenang lama di dalam air.

“Ia hanya mampu bertahan dalam air selama sejam sahaja. Itik mudah sejuk dan boleh mati lemas. Saya tidak mampu buat apa-apa pada awalnya kerana bimbang keselamatan diri saya (ketika air naik),” katanya.

Mohd Azim berkata, dia bukan hanya rugi RM9,000 apabila itik lemas, bahkan hangus RM960 kerana 1,200 biji telur itik hanyut dibawa banjir selain makanan dedak (RM2,660).

“Itik sangat sensitif. Apabila terendam lama dalam air, keadaan sejuk, ia trauma. Sekurang-kurangnya mengambil masa sebulan untuk itik kembali bertelur selepas pulih daripada trauma,” katanya yang memberitahu itik trauma juga akan menyebabkan bulu luruh.

Penternak itu mengakui tidak mudah untuknya bangkit semula, selepas melabur RM25,000 untuk memulakan penternakan itik setahun lalu.

“Saya amat berharap pihak veterinar atau mana-mana pihak berwajib dapat membantu menggantikan bekalan itik penelur dan penempatan yang baharu untuk itik ini yang buat sementara waktu saya tempatkan di garaj kereta keluarga.

“Harap bantuan segera disalurkan kerana pendapatan saya amat terjejas buat jangka masa yang panjang,” katanya.

BACA JUGA :

78 peratus jangkaan Omicron baharu adalah daripada jemaah umrah – Khairy
Amaran hujan lebat dan ribut petir malam ini di 7 negeri, siap sedia banjir…

Artikel ini disiarkan pada 03/01/2022

COMMENTS

Wordpress (0)