Isu viral guru diasingkan kerana tak vaksin, ini penjelasan Pengarah Pendidikan.Pengasingan guru di sekolah adalah bertujuan memastikan keselamatan semua pihak termasuk murid dan guru divaksin bagi mengelakkan berlaku penularan jangkitan Covid-19 sehingga mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka.
Perkara itu dijelaskan Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Anismah M. Noh yang memberitahu, dalam masa sama, guru tidak divaksin secara tidak langsung dilindungi apabila diasingkan daripada guru lain yang dibenarkan mengajar murid secara bersemuka.
Menurut laporan utusan “Terdapat mereka tidak mahu divaksin masih berdegil masuk ke kelas dan mengajar kerana mengatakan itu tanggungjawab mereka untuk mengajar. Bila berlaku begitu, jadi konflik antara pengetua dengan guru terbabit.
“Sepatutnya, guru itu kalau hendak mengajar, perlu buat secara dalam talian. Tetapi, murid pula berada di sekolah dan tidak dibenarkan bawa gajet ke sekolah. Itu masalah lain pula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Beliau menambah, pengasingan yang dilakukan bukanlah bersifat emosi, sebaliknya arahan yang ditetapkan oleh kementerian untuk dilaksanakan supaya mereka tidak merisikokan diri dengan bergaul bersama guru dan murid divaksin.
Beliau turut menempelak guru yang mendakwa ditempatkan di tandas dan stor seperti tular dalam media sosial dan menjelaskan hal itu sengaja diada-adakan serta menyifatkannya sebagai ‘menokok tambah cerita’.
Beliau yang mengetahui hal sebenar memberitahu bilik berkenaan asalnya adalah bilik persalinan untuk kegunaan guru.