Isu Bersatu dengan Umno tak kritikal – Nik Amar

Isu Bersatu dengan Umno tak kritikal – Nik Amar

Pemimpin PAS beranggapan situasi dan konflik politik negara khususnya melibatkan pihak kerajaan tidak terlalu kritikal dan akan dapat diselesaikan dengan baik.

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah berpendapat, walaupun ada isu antara Umno dan Bersatu perkara itu diyakini akan selesai.

“Memanglah kalau keadaan politik tidak menentu dan tidak stabil maka pilihan terbaik adalah bubarkan parlimen dan memberi peluang kepada rakyat buat pilihan. Cuma isu sekarang kita dalam keadaan pandemik Covid-19, itu kena fikir.

“Saya rasa boleh selesai, semua ini (pemimpin) orang cerdik-cerdik belaka, kalau bincang dengan baik dan melihat dengan kepentingan lebih luas, bukan kepentingan kelompok atau parti tertentu, melihat kepentingan negara dan rakyat, maka mungkin boleh selesai.

“Bagi saya tidak terlalu kritikal walaupun ada isu, macam Bersatu dengan Umno, usul undi tidak percaya. Tetapi saya rasa perkara ini boleh selesai,” katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata demikian ketika ditanya berhubung situasi semasa politik negara.

Terdahulu, pelbagai spekulasi timbul khususnya selepas Umno memberi kata dua untuk meletakkan syarat tertentu untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

PAS bagaimanapun mengekalkan pendirian untuk menyokong kerajaan PN yang diterajui Bersatu dan memperkukuhkan Muafakat Nasional bersama Umno.

Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan wujud pertindihan fungsi MN dan PN, Mohd Amar berkata, kedua-dua habungan itu merupakan entiti berbeza.

“Tak bertindih, PN satu entiti dan MN satu entiti. Sebab PN lebih luas melibatkan BN, parti Sabah dan Sarawak.

“MN pula spesifik kepada tiga parti (Umno, PAS dan Bersatu) sahaja, entiti berlainan,” katanya.

Berita penuh ; https://www.malaysiakini.com/news/547473