Ismail Sabri mula ikut perangai Muhyiddin?

Ismail Sabri

Ismail Sabri mula ikut perangai Muhyiddin. Di sebalik sidang Parlimen yang sepatutnya bermula 6 September telah ditangguhkan kepada 13 September berikutan Ismail Sabri Yaakob perlu menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat dengan seseorang yang positif Covid19, kedudukan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri dalam sidang kali ini masih lagi tidak diketahui nasibnya.

Tidak ada sesiapa setakat ini, baik daripada pejabat Perdana Menteri atau pejabat Speaker Parlimen, bersuara berkenaan kedudukan sebenar usul tersebut.

Tetapi, dua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng mengesahkan tidak terdapat sebarang usul undi percaya dalam aturan mesyuarat yang dihantar kepada mereka.

Mengapa demikian?

Meskipun Ismail Sabri tidak terikat untuk meneruskan janji pendahulunya, Mahiaddin Md Yasin yang dibuatnya sebelum ini berkaitan usul undi percaya itu, tetapi oleh kerana beliau adalah kesinambungan kerajaan gagal PN sebelum ini, bahkan sokongan majoriti yang diperolehinya cuma 114 undi daripada 220 Ahli Parlimen, keperluan meneruskan usul tersebut tidak harus dipandang ringan.

Ismail Sabri

Lagi pula Yang Dipertuan Agong sendiri dalam perjumpaan dengan ketua-ketua parti yang menghadap baginda sebelum perlantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, turut menekankan perlunya sesiapa yang dilantik bagi jawatan itu nanti agar mengabsahkan kedudukan mereka di Parlimen.

Tujuannya tidak lain ialah agar tiada lagi pertikaian mengenai kedudukan Perdana Menteri itu.

Presiden Warisan, Shafie Apdal ketika mengesahlan titah itu berkata, Agong mahu sesiapa sahaja yang terpilih sebagai Perdana Menteri melalui akuan berkanun (SD) menguji kesahihan sokongannya di Parlimen selepas lantikan dibuat.

“Setelah ada calon yang dilantik sebagai Perdana Menteri, telah dititahkan oleh Agong agar perkara itu tidak hanya diputuskan melalui keputusan tersebut, tetapi perlu dibawa ke Parlimen untuk pengesahan bagi mewujudkan kestabilan,” kata Shafie dalam wawancara dengan sebuah portal berita pada 18 Ogos lalu.

Bermakna dalam hal ini, tiada sebab untuk Ismail Sabri tidak mahu akur terhadap penting dan keperluan membenarkan usul undi percaya itu.

Ini kerana, ia bukan saja telah dititahkan oleh Agong agar dilaksanakan, bahkan turut perlu dari segi hukum logik demi kestabilan kerajaan yang baru diketuainya.

Ismail Sabri juga tidak harus cuba melengah-lengahkan untuk membenarkan usul berkenaan ke sidang Parlimen yang lain kerana lebih cepat perkara itu diselesaikan, baik baik untuk dirinya dan juga untuk kestabilan negara.

Dalam hal ini, Ismail Sabri jangan sesekali berperangai seperti Mahiaddin yang sepanjang 17 bulan sebelum ini berkali-kali menangguhkan sidang Parlimen lantaran takut dengan ujian keabsahan, malah kemudian tergamak pula mendaruratkan Parlimen.

Sepatutnya dalam sidang Parlimen bermula 13 September nantilah yang paling sesuai untuk beliau menunjukkan jiwa besar dan tidak takutnya berdepan cabaran keabsahan di dalam Parlimen.

Kiranya beliau berperangai sama seperti Mahiaddin, ia hanya menunjukkan kelemahannya sendiri, selain beliau dengan sengaja mengundang kecaman ramai terhadapnya.

Selagi kedudukannya tidak diabsahkan di Parlimen, bersama kemampuannya yang sedia diragui dan beliau tidak pula lebih berwibawa daripada Mahiaddin, kedudukannya sebagai Perdana Menteri akan terus berdepan pertikaian yang berpanjangan.

Berita Penuh : https://shahbudindotcom.net/2021/09/01/jika-tak-mahu-kedudukannya-dipertikai-berpanjangan-ismail-sabri-jangan-ikut-perangai-mahiaddin.html

BACA: Satu kampung kena Covid-19 gara-gara seorang wanita hadiri kenduri