Ismail Sabri adalah ikon penyatuan, kata pemuda Pas

Ismail Sabri adalah ikon penyatuan, kata pemuda Pas. Pencalonan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri kesembilan merupakan hasil muafakat parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pemuda Pas Selangor, Hanapi Zulkapli berkata, ia membuktikan watak Ismail Sabri mampu menjadi ikon penyatuan bagi mengukuhkan Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai parti utama dalam PN.

Beliau berkata, perpaduan nasional menerusi hubungan parti-parti politik itu amat penting dan sangat mempengaruhi perpaduan dalam kalangan masyarakat dan ahli parti politik.

“Perpaduan nasional di peringkat parti-parti politik akan membawa kepada kestabilan negara dan melicinkan pentadbiran semasa.

“Pemuda Pas Selangor menyokong penuh pencalonan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri kesembilan, sekali gus menutup propaganda pihak pembangkang berkenaan dakwaan memiliki sokongan majoriti,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ismail Sabri
Hanapi berkata, fokus perpaduan itu juga sangat ditekankan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi ucapan beliau sebelum ini.

Malah, katanya, Abdul Hadi sering menerangkan konsep permuafakatan menerusi Muafakat Nasional (MN) dan PN dengan merujuk model perpaduan di Madinah sebagaimana ditunjukkan Rasulullah SAW.

“Sedangkan pembangkang terus dalam keadaan berpecah kerana masing-masing rakus dalam mengejar jawatan dan kedudukan sehingga tidak mencapai kata sepakat antara mereka.

“Ini jelas apabila pendirian asal DAP terhadap tawaran Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi kerjasama bipartisan tidak selari dengan pendirian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujar beliau.

Selain itu, katanya, perebutan posisi jawatan Perdana Menteri antara Anwar dengan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal jelas tidak mampu disorokkan lagi sehingga rakyat sedar betapa terdesaknya Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu untuk memperoleh sokongan majoriti.

“Akhirnya, pembangkang terus bermain propaganda, namun realiti mereka masih gagal. Ini jelas terbukti apabila pembangkang gagal mengemukakan nama calon Perdana Menteri yang (didakwa) mendapat majoriti kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/156535/BERITA/Politik/Pencalonan-Ismail-Sabri-tutup-propaganda-pembangkang

Baca: Perlu jaga hati ‘rakan kongsi’, nasihat Tajuddin kepada Ismail Sabri

COMMENTS

Wordpress (0)