Institusi tahfiz berdepan masalah kewangan, mohon beroperasi semula

Sektetariat Khas Pendemik COVID-19 Institut Tahfiz Negara memohon semua institusi dan maahad tahfiz dibenarkan kembali beroperasi pada 24 Jun ini.

Permohonan itu dibuat menerusi memorandum yang diserahkan Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz Al Quran Malaysia, Manolito Mohd Dahlan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di bangunan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sini hari ini.

Manolito berkata, pihaknya berharap kerajaan meluluskan pembukaan institusi berkenaan pada 24 Jun bersamaan ketetapan pembukaan semula sesi persekolahan bagi kelas peperiksaan awam seperti diumumkan Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin, kelmarin.

“Sepanjang penutupan institusi berkenaan susulan penularan COVID-19, kebanyakannya berhadapan masalah kewangan untuk menjelaskan bil utiliti, sewa dan gaji tenaga pengajar.

“Malah terdapat sebahagian institusi tahfiz terpaksa ditutup disebabkan kebanyakannya bergantung sepenuhnya kepada yuran pelajar dan sumbangan orang ramai,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan memorandum itu.

Sebanyak tujuh gabungan persatuan turut hadir bagi menyampaikan memorandum berkenaan mewakili 1,500 maahad tahfiz swasta di seluruh negara.

Ketika ini terdapat sebanyak 7,500 pelajar tahfiz menuntut di 1,500 pusat tahfiz swasta di seluruh negara.

Beliau yang juga Pengerusi Maahad Tahfiz Tarbiah Al Ummah, berkata pihaknya sudah mengadakan operasi nyah kuman di beberapa pusat tahfiz termasuk menyediakan prosedur operasi standard (SOP) khusus dengan penambahan Akta Keselamatan Dan Pekerjaan.

“Sekiranya kerajaan tidak membenarkan semua peringkat tahfiz dibuka, kami merayu diberi kelonggaran kepada pelajar yang sudah menghafal 15 juzuk ke atas,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/06/699542/covid-19-institusi-tahfiz-mohon-beroperasi-semula