Inilah dilema sebenar Muhyiddin pasca ‘Langkah Sheraton’

Inilah dilema sebenar Muhyiddin pasca ‘Langkah Sheraton’

Seruan “perpaduan Melayu” adalah satu-satunya motivasi di sebalik pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata bekas pemimpin Umno Tawfik Ismail.

Beliau berkata, masalah utama yang dihadapi oleh Muhyiddin ialah kurangnya pemimpin berkebolehan dalam gabungan yang dipimpinnya.

“Apakah manifesto yang memotivasi kerajaan ini? Sejauh yang boleh dilihat oleh orang ramai ialah ‘perpaduan Melayu’,” katanya dalam temu bual dengan FMT.

Tawfik berkata, keadaan politik selepas “Langkah Sheraton pada Feb tahun lepas menyebabkan sokongan orang Melayu pecah, Umno bersengketa dan golongan orang Melayu progresif semakin bimbang berhubung pengurusan negara.

“Berikutan Langkah Sheraton, Muhyiddin ‘mewarisi’ pemimpin yang menentangnya dalam pilihan raya umum lepas. Apakah beliau pasti mereka tidak akan melemahkan kedudukannya?,” soal beliau.

Tawfik berkata, pemimpin parti biasanya mempunyai masa untuk merancang bagi menghadapi pilihan raya dan memilih calon dengan mengambil kira kesetiaan kepada parti dan kepimpinannya, selain tahap kebolehan tertentu.

Katanya, perkhidmatan awam negara telah bekerja di bawah Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun, sehinggakan “proses penggantian pegawai di dalamnya dilihat mempunyai kaitan dengan dinasti politik yang mempunyai pengaruh dalam banyak bidang”.

Keluarga luas Melayu mungkin mempunyai jangkauan yang agak luas.

“Jadi kesetiaan mungkin terbahagi. Jika mereka akur sekali pun, ia dilakukan pada tahap yang dirasai selesa, bukan berdasarkan Kabinet,” katanya.

Dalam penguatkuasaan berkait wabak Covid-19, Tawfik berkata, tidak semua pegawai awam sekata kerana ramai daripada mereka mempunyai ahli keluarga yang terlibat dalam sektor perniagaan.

“Selain itu wujud persepsi bahawa ‘pakar’ tidak diberikan perhatian yang sewajarnya jika ia bercanggah dengan keutamaan politik,” katanya, merujuk kepada cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengenakan sekatan penuh yang dilihat oleh sesetengah menteri berisiko menghentikan terus aktiviti ekonomi.

Beliau berkata, dari sudut ekonomi, ringgit lebih kukuh berbanding dolar AS yang lemah, peningkatan harga komoditi berikutan pertambahan permintaan kerana wabak Covid-19 melemahkan bekalan dan pengeluaran.

“Ini menjadikan ekonomi lebih kukuh,” katanya.

Nazari Ismail dari Jabatan Dasar dan Strategi Universiti Malaya menyenaraikan beberapa sebab rakyat berasa bimbang kini.

Beliau berkata, Malaysia berdepan ekonomi yang lemah disebabkan oleh pelaksanaan perintah sekatan yang ditadbir oleh kerajaan yang lemah, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan politik.

Negara juga berdepan pertambahan hutang yang boleh menimbulkan masalah jangka panjang apabila beban hutang dipindahkan kepada generasi muda, katanya.

Beliau berkata, kemerosotan yang berpunca daripada amalan rasuah juga tidak baik untuk negara, merujuk kepada laporan terbaru Indeks Persepsi Rasuah 2020 yang menyaksikan Malaysia jatuh enam anak tangga kepada kedudukan ke 57. –FMT