Ini Kerajaan Minoriti Dan Ia Tak Stabil

TAN SRI Muhyuddin Yassin telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan Malaysia dengan gabungan baharu disertai Parti Pribumi PPBM Malaysia (PPBM) Umno, Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Keputusan ini dibuat selepas Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) yakin bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen berdasarkan perkara 43 (2) (a) perlembagaan persekutuan. Kini, Malaysia ditadbir sebuah kerajaan minoriti yang tidak dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya.

Selepas tsunami politik 2008, berlaku pertukaran kerajaan Pakatan Rakyat (PR) kepada Barisan Nasional (BN) pada tahun 2009 kerana kedudukan majoriti PR tidak kukuh. Tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PR telah menyokong BN, menyebabkan kerajaan Perak PR hanya bertahan 11 bulan sahaja dan melahirkan kerajaan minoriti.

Selepas menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya bertahan selama 22 bulan kerana gagal mempertahankan majoriti di Dewan Rakyat. PH yang mempunyai 113 kerusi pada PRU14 akhirnya goyah selepas ahli parlimen PPBM dan Keadilan hampir 30 orang menyertai Perikatan Nasional.

Di peringkat negeri juga berlaku perubahan apabila Johor, Perak, dan Melaka turut bertukar kepada kerajaan Perikatan Nasional selepas beberapa Adun PH menyertai mereka.

Akibat tiada majoriti jelas menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyuddin Yassin, maka YDPA telah menggunakan peruntukan kuasanya memilih Muhyiddin Yassin dengan menubuhkan kerajaan minoriti.

Di Malaysia, amat penting bagi parti pemerintah mendapat majoriti dua per tiga atau melebihi 148 kerusi untuk membentuk kerajaan yang kukuh. Namun, parti pemerintah di Malaysia gagal mendapat majoriti kukuh sejak 2008 dan membentuk kerajaan minoriti. Apa yang berlaku hari ini juga menunjukkan kerajaan persekutuan hanya mampu membentuk kerajaan minoriti untuk masa hadapan atas persaingan parti politik yang agak sengit

Apa itu kerajaan minoriti?

Kerajaan minoriti merupakan konsep pentadbiran yang tidak stabil. Kajian The Institute for Government, sebuah badan pemikir United Kingdom menyatakan kerajaan minoriti akan berhadapan dengan kekalahan dalam meluluskan rang undang-undang (RUU) dan usul di parlimen.

Seperti yang berlaku kepada kerajaan PH apabila hampir tewas dalam undi belah bahagi RUU Pembekalan 2020 Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada November 2019. Apabila kerajaan berhadapan kekalahan berpanjangan, maka ia memberi kesan kepada kerajaan minoriti untuk tidak meneruskan pentadbiran dan parlimen akan dibubarkan.

Disebabkan kedudukan majoriti mudah ini agak nipis, undi majoriti mudah kerajaan minoriti ini boleh berubah-ubah bergantung kepada sokongan ahli parlimen.

Sebab itu, kedudukan kerajaan PH mudah tergugat kerana mereka hanya memperolehi 113 kerusi pada PRU14 walaupun berlaku penambahan kerusi selepas ahli parlimen UMNO masuk PPBM. Maka, Perikatan Nasional menggunakan kerapuhan ini untuk membentuk kerajaan minoriti mereka.

Meskipun PH hari ini menyatakan mereka mempunyai 113 sokongan majoriti ahli parlimen, keadaan ini boleh berubah, berkemungkinan jumlah mereka akan berkurang.

Namun, Perikatan Nasional tidak boleh rasa selesa dan terjamin dengan keadaan sekarang. Mereka tidak boleh bertindak seperti kerajaan majoriti kerana risiko untuk kalah dalam parlimen dan berlaku perpecahan agak tinggi sekiranya mereka gagal berkompromi atau mencapai kata sepakat dalam kerajaan.

Apa berlaku selepas ini?

Ahli parlimen PH mendesak sidang tergempar parlimen dilakukan untuk menguji mandat Perikatan Nasional melalui beberapa kaedah seperti undi tidak percaya kepada perdana menteri. Peraturan Mesyuarat 15 Dewan Rakyat pula menyatakan urusan kerajaan didahulukan, bermaksud kerajaan boleh melengahkan usul undi tidak percaya di parlimen. Perikatan Nasional boleh membawa usul undi percaya perdana menteri untuk mempertahankan majoriti mereka.

Kerajaan Perikatan Nasional juga perlu berkompromi dengan pembangkang dan parti komponen dalam menentukan sesuatu dasar atau RUU bagi mengelakkan kekalahan usul di parlimen. Mereka juga perlu memastikan ahli parlimen hadir ke sidang untuk mengekalkan jumlah undi majoriti.

Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan menyebut perdana menteri boleh meminta YDPA untuk menangguh sidang parlimen tidak melebihi enam bulan daripada tarikh akhir bersidang.

Penangguhan parlimen akan membawa implikasi politik berpanjangan. Masa ini boleh digunakan oleh pihak Perikatan Nasional untuk menambah sokongan. PH juga mempunyai peluang yang sama, tetapi sejauh manakah PH dapat bangkit semula dalam kemelut politik ini?

Dalam politik Malaysia, begitu jarang ahli parlimen menyokong pembangkang berbanding kerajaan yang boleh memberi bermacam-macam tawaran. Sebab itu, saya berpendapat Perikatan Nasional mempunyai kelebihan berbanding PH yang perlu mengambil masa membina semula kekuatan mereka.

Kedudukan perdana menteri kelapan juga berisiko kerana partinya mempunyai jumlah kerusi yang kecil berbanding BN. Perkara ini berlaku di peringkat kerajaan negeri apabila jawatan Menteri Besar yang dipegang PPBM selama ini diberikan kepada Umno kerana kedudukan kerusi mereka yang sedikit.

Sekiranya ahli parlimen PPBM yang asalnya Umno, menyertai parti itu semula, maka ia akan memberi tekanan kepada legitimasi perdana menteri kelapan dan berkemungkinan pilihan raya umum akan diadakan. Adakah perdana menteri akan menyerahkan jawatannya kepada BN sebagai perdana menteri kesembilan sekiranya situasi ini berlaku?

Fakhrurrazi Rashid
Kordinator Program Research For Social Advancement (REFSA)

COMMENTS

Wordpress (0)