Dikala orang ramai berbual hangat tentang jualan barisan siri iPhone 16 di kedai rasmi Apple,
mereka seolah-olah telah terlupa bahawa syarikat gergasi ini terlibat dalam menyumbang dana kepada rejim Zionis Israel.
Kempen boikot terhadap produk atau perkhidmatan yang berkait dengan Israel hanya menjadi ungkapan di bibir,
tetapi realitinya masih mendambakan produk tersebut. Malah, ramai influencer tempatan berpusu-pusu menjadi
antara yang terawal memiliki iPhone 16 dan bangga menayangkannya di media sosial seolah-olah mereka baru memenangi anugerah.
Seorang pengguna TikTok berkongsi beberapa tangkap layar yang menunjukkan sejumlah influencer tempatan yang tidak sensitif terhadap isu boikot terhadap Israel.
Mereka dilihat berbangga berkongsi video ketika membeli dan mengunbox iPhone 16 yang baru dibeli untuk tatapan umum.
Lebih menyedihkan, ada di antara mereka yang giat melaungkan boikot terhadap Israel dan berkongsi video mengenai kesedaran terhadap saudara seIslam yang ditindas di Gaza setiap hari, t
etapi itu hanyalah sandiwara kerana boikot hanya dilakukan ke atas produk atau perkhidmatan tertentu sahaja.
Apabila berkaitan Apple, mereka seolah-olah menutup mata dan sedia membelanjakan wang yang besar untuk mendapatkan gajet terkini.
Tidak cukup dengan berbangga di media sosial, sebahagian daripada mereka juga menghapus komen dari netizen yang menegur tentang boikot, walhal mereka hanya memberi peringatan bahawa pembelian itu secara tidak langsung memberi sokongan kepada negara haram tersebut.
Apabila ditanya mengapa membeli produk Apple, pelbagai alasan diberikan untuk mempertahankan tindakan membeli iPhone 16 tersebut.
Pengguna TikTok bernama @Sophie meluahkan rasa kekecewaan dengan segelintir influencer yang menjadikan kempen boikot sebagai satu trend semata-mata. Dia merasakan individu terbabit mempunyai pengaruh yang besar dan bakal menjadi ikutan para peminatnya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang bersetuju dengan kenyataan wanita tersebut dan turut sedih melihat sesetengah influencer yang tidak cakna dengan isu boikot dan hanya bercakap kosong kerana tindakan mereka memperlihatkan sebaliknya.
Bukan itu sahaja, ada netizen yang mendakwa sebahagian influencer ini memberi respons sinis kepada komen-komen berkaitan boikot seolah-olah pembelian mereka adalah satu trofi kebanggaan.
BACA: Tercungap-cungap ketika baring, anjing kantoi ‘menyamar’ jadi panda