Indonesia perketat kawalan sempadan, bimbang kluster Malaysia

Indonesia perketat kawalan sempadan, bimbang kluster Malaysia

Agensi Perlindungan Pekerja Asing Indonesia (BP2MI) Nunukan, Kalimantan Utara meminta pasukan petugas khas Covid-19 mengetatkan kawalan sempadan dengan Malaysia.

Lapor Kompas.com, langkah itu dibuat susulan banyak kes melibatkan pekerja Indonesia melarikan diri dari Malaysia menggunakan jalan tikus di kawasan sempadan.

Ketua BP2MI Nunukan, Hotma Victor Sihombing berkata, kebanyakan pekerja yang melarikan diri akan menggunakan jalan di wilayah Krayan dan Pulau Sebatik yang menghubungkan kedua-dua negara.

“Kita sudah mengendalikan tiga kes berkaitan pekerja Indonesia lari dari Malaysia. Mereka mengambil kesempatan di sempadan Krayan dan Sebatik untuk ke kampung halaman di Nunukan,” katanya.

Menurut Victor, kebanyakan pekerja Indonesia di Malaysia memilih laluan haram di kawasan sempadan kerana ingin mengelak membayar kos ujian calitan Covid-19, menjalani kuarantin dan kehilangan kad pengenalan kerana dipegang majikan.

“Sehubungan itu, kita meminta pasukan petugas khas Covid-19 mengetatkan pemeriksaan di kawasan sempadan kerana tidak mahu ada kluster import dari Malaysia,” katanya.

Katanya, kes terakhir dikendalikan pihaknya melibatkan 11 pekerja yang berasal dari Bulukumba, Sulawesi Selatan pada hujung Januari lalu.

Katanya, mereka sanggup meredah hutan kelapa sawit dan mencari kenderaan menuju ke Krayan di Nunukan yang juga wilayah terdekat dengan Sarawak, Malaysia. – FMT