Imej SPRM tercalar dengan insiden-insiden yang berlaku mutakhir ini

Imej SPRM tercalar dengan insiden-insiden yang berlaku mutakhir ini

BELALANG menjadi semakin risau bila sejak akhir-akhir ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhadapan dengan tuduhan dari kiri dan kanan, kononnya mereka menjadi dalang di sebalik insiden anggota-anggota Dewan Rakyat melompat parti.

Bahawa kononnya, ahli-ahli Parlimen ini menerima tekanan daripada SPRM sehingga membuat keputusan untuk meninggalkan parti masing-masing dan menyatakan sokongan kepada kerajaan.

Dengan berbuat demikian, mereka kononnya akan terlepas daripada tekanan dan siasatan SPRM. Dalam perkataan lain, SPRM digunakan sebagai ‘alat’ untuk mencapai maksud tertentu.

Sesungguhnya, cakap-cakap seperti ini yang berlegar di media sosial sangat-sangat tidak baik untuk SPRM kerana ia boleh menghakis keyakinan dan kepercayaan ramai ke atas badan siasatan rasuah itu.

Pada pandangan Belalang, SPRM bukan sahaja perlu menjauhkan diri daripada dipalitkan dengan cakap-cakap seperti ini, malah wajib melakukan penjelasan dan mempertahankan diri.

Mereka perlu ‘membersihkan’ diri daripada segala macam dakwaan dan tuduhan yang mengaitkan ahli-ahli Parlimen yang melompat parti sekarang dengan kes-kes siasatan oleh SPRM.

Kisah yang menjadi bualan ramai ialah kononnya jika melompat parti dan menyatakan sokongan ke atas kerajaan, mereka akan terselamat daripada siasatan. Ditekan untuk berbuat demikian demi menyelamatkan diri daripada siasatan.

Jika cakap-cakap seperti ini dibiarkan memenuhi media sosial, bukan sahaja imej SPRM akan rosak, malah masa depan integriti mereka juga akan hancur.

Mengenali Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, beliau bukanlah seperti ini.

Beliau adalah seorang penjawat awam yang berintegriti dan bermaruah. Menuduh badan yang dipimpinnya sebagai bersekongkol dengan pemerintah adalah sesuatu yang serius dan tidak bertanggungjawab.

Adalah tidak adil untuk menuduh beliau dan pasukannya sedemikian hanya kerana SPRM diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Sebab itulah, untuk mengelak perkara-perkara seperti ini daripada berlaku, SPRM perlu diasingkan daripada cabang kerajaan. SPRM mesti bertanggungjawab kepada Parlimen Malaysia seperti mana yang diminta oleh majoriti rakyat.

Hakikat bahawa rakyat mendesak supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen kerana untuk elak ia dituduh seperti mana sekaranglah.

Selamatkanlah SPRM sebelum ia tidak boleh diselamatkan lagi dan hilang maruah serta integriti.

Belalang – Hanya bermain di atas padang yang sama rata…

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/128318/SUARA-SINAR/Lain-Padang-Lain-Belalang/Selamatkanlah-SPRM-sebelum-maruahnya-dipijak-pijak