IKRAM agih sumbangan lebih RM300 ribu sepanjang PKP

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru rakyat agar terus bertenang dalam menjalani Perintah Kawalan Perjalanan (PKP) yang telah dilanjutkan untuk Fasa Ketiga sehingga 28 April 2020.

IKRAM memuji usaha semua pihak dalam menangani isu COVID-19, termasuk rakyat yang mematuhi arahan untuk tinggal di rumah. Marilah kita terus memberikan kerjasama yang terbaik dalam mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang tempoh menghadapi ujian COVID-19 bagi membantu memutuskan rantaian virus ini.

IKRAM mengucapkan syabas kepada pelbagai pihak yang berperanan menghulurkan bantuan kepada pasukan hadapan termasuk bantuan peralatan keselamatan dan makanan. Ucapan tahniah juga ditujukan kepada IKRAM Negeri dan Kawasan serta agensi-agensinya yang turut aktif dalam usaha ini.

Sehingga kini, IKRAM telah menyumbang lebih RM300,000 merangkumi puluhan ribu unit peralatan keselamatan seperti pelindung muka (face shield) dan tudung pakai buang untuk pasukan kesihatan di seluruh negara. Bantuan makanan dan wang ringgit juga telah diagihkan kepada golongan yang memerlukan, terutama melalui Yayasan IKRAM Malaysia yang digerakkan melalui i-Bantu.

Justeru, IKRAM menyeru kepada masyarakat dan ahli-ahli IKRAM agar terus prihatin. Manfaatkan peluang semasa PKP untuk menabur bakti kepada golongan yang memerlukan berdasarkan kemampuan masing-masing.

Sikap prihatin dan kepedulian tentang jiran dan rakyat yang berada dalam kesusahan adalah bersesuaian dengan maksud hadis Rasulullah SAW:

“Tidak termasuk orang mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan.” (HR Thabrani: 12579)

IKRAM juga menyeru semua anggota masyarakat untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan dengan melakukan pelbagai aktiviti dan ibadah secara bersama di samping menyantuni keperluan jiran tetangga dan rakyat yang memerlukan.

IKRAM percaya, PKP bukanlah penghalang untuk meneruskan visi Malaysia Menjadi Negara Rahmah, sebaliknya ia telah membuka peluang yang luas ke arah mencapai visi tersebut.

Marilah kita terus berdoa kepada Allah Yang Maha Besar agar wabak COVID-19 dapat diangkat segera dan membantu melepaskan kita daripada sebarang keburukan dan kesulitan.

Semoga rakyat Malaysia diberikan kekuatan, kesabaran, keselamatan dan kesihatan untuk melalui saat-saat kritikal ini.

DR HAJI MOHD PARID SHEIKH AHMAD
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

*Orang ramai boleh menyumbang melalui Yayasan IKRAM Malaysia melalui pautan http://yayasan.ikram.org.my/tabung-covid-19/ atau melalui akaun YAYASAN IKRAM MALAYSIA (Maybank 562142404402) dengan rujukan “Covid19” dan e-mel bukti pembayaran kepada [email protected]

Sumber:https://ikram.org.my/berita/kenyataan-media/item/3945-pkp-terus-santuni-yang-memerlukan-tingkatkan-amal.html

COMMENTS

Wordpress (0)