Ibubapa dilarang lawat pelajar asrama selama 46 hari

Ibubapa

Ibubapa dilarang lawat pelajar asrama selama 46 hari.Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melarang ibubapa atau penjaga melawat pelajar di sekolah berasrama sepanjang 46 hari baki persekolahan kelak.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM Zainal Abas berkata, tempoh itu bermula apabila sekolah dibuka 3 dan 4 Oktober ini hingga 10 dan 11 Disember nanti sebelum sekolah ditutup untuk sesi cuti persekolahan hujung tahun.

Menurutnya, ia adalah penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan untuk pencegahan penularan Covid-19 dalam kawasan sekolah.

“Pada hujung minggu, aktiviti pelajar akan diuruskan di dalam kawasan sekolah sahaja. Ibu bapa tak boleh melawat dalam tempoh 46 hari persekolahan supaya murid dapat memberikan fokus.

“Kita harap juga untuk pelajar ini apabila berada dalam gelembung asrama untuk mematuhi SOP sebagaimana yang kita bangunkan sebelum ini termasuk dari segi susunan katil yang ada penjarakan,” katanya.

Beliau mengupas tajuk sesi persekolahan dan pengoperasian sekolah di fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam sesi webinar dan Facebook (FB) live ‘Hidup Bersama Virus Covid-19: Kanak-kanak dan Remaja’ yang disiarkan menerusi FB Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Ibubapa

Menurutnya, sesi pembukaan sekolah 3.0 perlu dilakukan beberapa penambahbaikan kerana munculnya varian Delta menyebabkan angka jangkitan melonjak sehingga ke lima angka dan melebihi 20,000 kes harian berbanding lingkungan empat angka dalam sesi terdahulu.

“Selain itu, kalau dahulu kita bercakap mengenai jangkitan melalui titisan yang keluar daripada mulut tetapi sekarang kita tahu bahawa ia telah menjadi jangkitan bawaan udara dengan varian Delta,” katanya.

Menurutnya, pelajar sekolah asrama penuh juga akan menjalani sebanyak tiga kali ujian menggunakan kit ujian kendiri Covid-19 menggunakan saliva atau sampel air liur.

Beliau berkata, ujian itu perlu dijalani pelajar berkenaan sebelum mendaftar dan memasuki asrama, hari keenam di asrama dan hari keempat belas di asrama.

“Bagi asrama harian pula, murid akan jalani ujian pada hari pertama sebelum memasuki asrama.

“Selepas itu, ujian berkenaan akan dilaksanakan jika pelajar ada menunjukkan tanda atau gejala,” katanya.

Menurutnya, pihak sekolah perlu menghubungi ibu bapa dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) supaya pelajar yang positif menerusi ujian saliva dapat dibawa ke klinik untuk dilaksanakan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sebagai pengesahan.

Beliau berkata, KPM juga sudah menyediakan pembekalan kepada semua 10,224 sekolah di seluruh negara supaya bekalan itu sentiasa ada dan mencukupi.

“Mengenai pengurusan prasarana misalannya, kalau dahulu tidak berapa ditekankan mengenai pengudaraan tetapi dengan varian Delta berada di sekeliling kita, kajian KKM mengatakan pengudaraan itu satu faktor yang penting.

“Untuk tujuan itu kita sudah mengarahkan sekolah untuk menurunkan sementara dan menyimpan dahulu tirai atau langsir yang ada di dalam kelas.

“Walaupun ia adalah usaha mencantikkan bilik darjah tetapi kita mahukan pengudaraan yang baik tanpa tirai dengan membuka tingkap, pintu dan kipas,” katanya.

Menurutnya, pintu bilik darjah perlu dibiarkan terbuka supaya tombol tidak disentuh ramai orang untuk buka dan tutup selalu yang berisiko terjadinya jangkitan.

Selain, katanya, untuk pengoperasian pada waktu rehat, jika dahulunya murid makan di dalam kelas pada waktu rehat tetapi pada kali ini hanya kelas yang mempunyai pengudaraan baik sahaja boleh terus makan dalam bilik darjah.

“Bagi kelas yang menggunakan penghawa dingin, kita minta murid untuk makan di kawasan lapang pada waktu rehat,” katanya.

Berkenaan sistem penggiliran belajar bersemuka di sekolah, katanya, pihak ibu bapa tak perlu gusar sebab ia sudah dirancang KPM dengan baik.

Katanya, KPM juga menyediakan manual modul kepada guru untuk menerangkan bagaimana pengoperasian penggiliran dilaksanakan.

“Bilangan murid di sekolah akan dihadkan kepada 50 peratus dengan pembahagian melalui kelas penggiliran.

“Selain itu, pada tahun lalu di awalnya kita menggalakkan pemakaian pelitup muka tetapi kali ini kita mewajibkan pemakaian pelitup muka kepada semua warga sekolah termasuk murid, guru, pekerja khidmat sokongan dan anggota kumpulan pelaksana.

“Kepada warga yang belum divaksin sepenuhnya, mereka perlu memakai pelitup muka berganda bersama dengan pelindung muka untuk ekstra pencegahan jangkitan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan mengapa tiada penggiliran bagi murid di pra-sekolah adalah kerana kelas pra-sekolah memang sudah dihadkan kepada hanya 25 murid dalam satu kelas.

Jadi, katanya, apabila bilangan kecil maka mereka tidak perlu hadir secara penggiliran.

“Penting bagi murid pra-sekolah dapat dibawa masuk lebih awal ke sekolah supaya dapat berhubung dengan guru, dapat diterapkan elemen literasi dan numerasi itu dengan berkesan.

“Dari segi psikologi pula, bagaimana murid belajar bersosial di peringkat awal sewaktu kelahiran sehingga usia lima tahun apa yang mereka kenal adalah keluarga termasuk ibu bapa dan adik-beradik, saudara-mara serta jiran terdekat.

“Tetapi apabila mereka masuk ke alam persekolahan, di situlah murid sebenarnya belajar mengenai bersosial dengan golongan lain daripada keluarga, bangsa dan agama yang berbeza,” katanya.

Katanya, dari situ asas pembelajaran kepada sosialisasi dalam kalangan masyarakat itu berlaku dengan bermulanya di peringkat sekolah.

Menurutnya, sebab mengapa KPM tekankan kepada pendidikan awal kanak-kanak, adalah supaya asas ilmu itu dapat golongan berkenaan kuasai dengan baik

Berita penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/09/760976/pelajar-di-asrama-dilarang-terima-pelawat

BACA: Penyelidik UPM dapati respon positif penggunaan ganja terhadap tikus Alzheimer

COMMENTS

Wordpress (0)