Ibubapa dapat RM 300 sebulan bagi setiap bayi baru lahir.Sebuah bandar di China akan memberikan wang tunai untuk menggalakkan kadar kelahiran, yang pertama di negara menghadapi populasi berusia dalam kadar pantas.
Semalam, kerajaan di bandar Panzhihua, wilayah barat daya Sichuan mengumumkan ia akan memberikan 500 yuan (RM328.20) kepada keluarga setiap bayi setiap bulan, jika mereka mempunyai anak kedua atau ketiga, sehingga bayi itu berusia tiga tahun, lapor agensi berita Xinhua.
Bandar dengan 1.2 juta penduduk itu yang terkenal dengan industri keluli juga akan menawarkan perkhidmatan melahirkan anak secara percuma kepada ibu dengan pendaftaran isi rumah tempatan, selain menubuhkan lebih banyak sekolah asuhan dekat tempat kerja.
Awal bulan ini, Beijing berikrar akan mengurangkan kos kelahiran, penjagaan anak dan pendidikan menjelang 2025, susulan keputusan membenarkan semua pasangan berkahwin memiliki tiga anak pada Mei lalu.
Kadar kelahiran di China tahun lalu merosot ke tahap terendah hampir dalam enam dekad, di sebalik ketidaktentuan pandemik Covid-19.
Ini menunjukkan prospek populasi negara itu, kini mencecah 1.41 bilion, mungkin mulai menyusut sebelum 2025, menurut anggaran Bloomberg Economics’.
Subsidi penjagaan anak sebahagian daripada langkah lebih luas yang diumumkan kerajaan Panzhihua untuk menarik bakat.
Menurut laporan itu, Panzhihua turut menawarkan bonus tunai kepada guru, profesional perubatan, penyelidik berkelayakan dan usahawan yang memutuskan untuk menetap di bandar itu.
Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/dunia/2021/07/29/bandar-pertama-di-china-tawar-tunai-galak-kelahiran/