Ibu bapa masih ragu keputusan buka sekolah 1 September

Pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) bahawa murid-murid akan dibenarkan kembali ke sekolah mulai 1 Sept disambut baik oleh Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), namun dengan rasa waspada.

Dengan menyatakan bahawa 61% daripada guru-guru di negara ini dan 46% staf sokongan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 setakat Jumaat, KPM berkata semalam, sebarang keputusan untuk beralih daripada sasaran 1 Sept itu akan dibuat berdasarkan penilaian lebih lanjut oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saya harap kementerian telah mempertimbangkan semua faktor, baik dari aspek keselamatan dan kesihatan mahupun kesediaan sekolah dan negeri. Juga sama ada mereka sudah bersedia untuk kelas secara bersemuka,” kata Presiden PIBGN Mohamad Ali Hasan.

ibu bapa

“Saya juga harap murid, ibu bapa dan guru bersedia untuk meneruskan kelas dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.”

Walaupun mengakui bahawa ibu bapa mungkin berasa ragu-ragu untuk menghantar anak-anak mereka kembali ke sekolah, beliau percaya KPM menetapkan tarikh 1 Sept itu kerana yakin bahawa kes Covid-19 akan reda menjelang tarikh itu, dan murid-murid selamat untuk kembali ke sekolah.

Tambahnya, keputusan itu mungkin juga dipengaruhi oleh faktor lain, seperti keletihan belajar dalam talian, keprihatinan mengenai keberkesanannya, dan masalah berkait sambungan Internet dan ketiadaan peranti.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan menyambut baik pengumuman KPM itu dengan berkata, “ramai ibu bapa dan guru menuntutnya” memandangkan program vaksinasi dilihat sebagai berjaya.

“Oleh kerana KPM memiliki semua sains, fakta dan statistik, kami percaya ini adalah keputusan yang baik bagi semua rakyat kerana kami ingin kembali kepada kehidupan biasa,” katanya, sambil menambah, guru diberi “keutamaan” dalam mendapatkan vaksin.

Bukan semua ibu bapa menyambut baik keputusan ini – Dennis Ong, bapa kepada dua orang murid di SK Puchong Jaya 2, berkata beliau tidak bersetuju dengan langkah tersebut, dan percaya ramai ibu bapa lain turut berpandangan sama.

“Kita tutup sekolah ketika jumlah (kes Covid-19 harian) pada paras ribuan, dan kini ia mencecah lima angka,” katanya.

“Saya akui anak-anak saya berasa gelisah. Namun, saya hanya selesa menghantar mereka kembali ke sekolah jika kes turun bawah 2,000,” katanya, sambil turut menzahirkan kebimbangan mengenai penularan agresif varian Delta di seluruh negara.

Berdasarkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bulan lalu, sektor pendidikan akan dibenarkan beroperasi secara berperingkat pada fasa ketiga, yang dijangka bermula lewat Ogos.

Negara akan memasuki fasa ketiga apabila tiga nilai ambang dapat dicapai, iaitu purata kes harian Covid-19 turun bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana, dan kadar vaksinasi dua dos lengkap bagi populasi mencapai 10%.

Di media sosial, pengumuman dibuat Menteri Pendidikan Radzi Jidin di Facebook menarik hampir 700 komen dan dikongsi lebih daripada 8,000 kali setakat tengah malam, dengan ramai ibu bapa berharap KPM mempertimbangkan semula untuk melanjutkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga akhir tahun.

Ada juga yang berharap agar hanya pelajar Tingkatan Lima dan Enam dibenarkan kembali ke sekolah kerana mereka akan menduduki peperiksaan awam.

“Mereka sudah cukup dewasa untuk mematuhi SOP,” kata pengguna Facebook Wan Emran Shafiee dalam komennya di catatan Radzi.

“Kita perlu ingat bahawa hanya guru yang diberi vaksin, pelajar belum.

“Kami bimbang kluster sekolah akan mendominasi (jumlah kes) selepas ini. Kami tidak mahu kehilangan anak-anak kami.”

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/18/langkah-benar-murid-kembali-ke-sekolah-1-sept-disambut-baik-namun-dengan-waspada/

BACA JUGA : Panas !!! Tiga negeri tidak lagi penuhi syarat Fasa 2 PPN