i-Sinar KWSP : Permohonan mula dibuka hari ini

i-Sinar KWSP : Permohonan mula dibuka hari ini

Sebahagian besar daripada lapan juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) layak memohon kemudahan i-Sinar iaitu pengeluaran Akaun 1 di bawah Kategori 1.

Tiada dokumen sokongan diperlukan bagi Kategori 1 manakala kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP dan ahli hanya perlu memohon secara dalam talian bermula hari ini.

Pembayaran akan dibuat pada pertengahan Januari 2021.

Kriteria kelayakan bagi Kategori 1 membabitkan ahli yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi gig, yang sudah lama tidak mencarum, yang hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Golongan yang layak memohon mulai hari ini ialah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan atau ahli yang masih bekerja tetapi sudah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas, selepas 1 Mac 2020.

Permohonan boleh dibuat menerusi pautan berikut https://isinar.kwsp.gov.my/

Bagi Kategori 2 pula, permohonan akan bermula 11 Januari depan.

Kriteria kelayakan bagi Kategori 2 membabitkan ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas 1 Mac 2020, dan pengurangan itu hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen diberikan.

Jika dokumen tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan.

Jumlah kelayakan i-Sinar tertakluk kepada baki simpanan Akaun 1 ahli berdasarkan butiran terkini seperti ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 boleh membuat pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

Bagi ahli yang mempunyai baki lebih RM100,000 dalam Akaun 1, mereka boleh membuat pengeluaran maksimum 10 peratus atau RM60,000 (yang mana lebih rendah) daripada Akaun 1.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/permohonan-i-sinar-kwsp-dibuka-hari-ini/