Hutang dijamin kerajaan kini bernilai lebih RM300 bilion – Timb Menteri

Semua syarikat yang mendapat jaminan kerajaan tidak pernah gagal dalam memenuhi obligasi hutang mereka setakat ini, menurut Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah.

“Kedudukan kewangan syarikat-syarikat tersebut adalah baik di mana syarikat-syarikat ini ada sumber kewangan sendiri.

“Manakala hutang syarikat kerajaan yang dijamin akan disediakan peruntukan oleh kerajaan berdasarkan tempoh matang hutang masing-masing untuk membayar balik hutang mereka,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) berkaitan portfolio Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Hutang dijamin kerajaan kini bernilai lebih RM300 bilion - Timb Menteri

Menurut Mohd Shahar, setakat 30 Jun 2021, jumlah hutang yang dijamin oleh kerajaan berjumlah RM300.44 bilion atau bersamaan 19.84 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya jumlah hutang yang dijamin kerajaan itu terdiri daripada pinjaman domestik sebanyak RM273.93 bilion (91.2 peratus) dan pinjaman luar berjumlah RM26.51 bilion (8.8 peratus).

Sementara itu, beliau berkata sehingga akhir Ogos 2021, kedudukan hutang kerajaan Persekutuan kekal terkawal dengan mencatatkan RM965.3 bilion atau 63.3 peratus daripada KDNK.

Hutang statutori yang merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) pula mencatatkan 59.2 peratus daripada KDNK sehingga Ogos 2021 — masih di bawah had 60 peratus daripada KDNK yang ditetapkan, katanya.

Bagi memacu langkah konsolidasi fiskal pasca krisis, Mohd Shahar berkata kerajaan akan melaksanakan reformasi fiskal termasuk cadangan penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana.

Inisiatif ini meliputi langkah rasionalisasi dan meningkatkan kecekapan perbelanjaan melalui kajian semula perbelanjaan awam dalam mengukuhkan kedudukan kewangan dan sebagai usaha kerajaan membina semula ruang fiskal.

“Langkah konsolidasi fiskal akan turut disokong melalui Strategi Hasil Jangka Sederhana dengan mengkaji dan menambah baik sistem percukaian sedia ada, memperluas asas hasil, memanfaatkan potensi sektor tidak formal, mengurangkan amalan terkurang lapor dan isytihar, mengurangkan ketirisan cukai serta menambah baik pentadbiran cukai melalui pengurusan data yang berkesan dan mengintegrasi data dengan agensi berkaitan,” katanya.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/594171

BACA JUGA : Panas !!! Zahid cadang parti Bersatu dibubarkan

COMMENTS

Wordpress (0)