Hukuman denda RM1,000 bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka diteruskan

Kerajaan tidak bercadang meminda hukuman denda RM1,000 bagi mereka yang tidak memakai pelitup muka di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebarang pindaan akan memakan masa kerana perlu dibawa ke Parlimen sebelum diluluskan.

Menurutnya, kompaun RM1,000 itu merupakan maksimum namun masih boleh merayu untuk mendapatkan pengurangan di mahkamah.

“Saya rasa tak perlu kita pinda akta tersebut kerana nak meminda akta memerlukan masa sedangkan kes sedang berlaku. Tindakan perlu dilakukan sekarang, jadi kalau nak pinda memakan masa dalam sesi Parlimen kali ni dah tak sempat. Kena tunggu sesi Parlimen yang akan datang.

“Berapa lama lagi nak tunggu? Jadi kita teruskan apa yang ada, tapi budi bicara boleh digunakan untuk mengurangkan kompaun yang dikenakan,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke program Santai Melukis Mural di Pekan Slim River di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai desakan pembangkang agar kerajaan meminda Akta 342 untuk mengurangkan kompaun RM1,000 kepada RM250.

Hadir sama program tersebut, Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz.

Ismail Sabri berkata, dalam mahkamah, hakim mempunyai budi bicara untuk mengurangkan hukuman begitu juga dengan kompaun RM1,000.

Katanya, walaupun dikenakan kompaun RM1,000 mereka masih boleh merayu untuk mengurangkan kompaun berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri mengulangi kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bahawa penularan virus koronavirus (Covid-19) di Kedah dan Perlis masih terkawal.

Beliau berkata, dengan tindakan pantas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dilaksanakan di beberapa kampung, penyebaran virus tersebut dapat dikawal.

Menurutnya, keadaan itu tidak akan menjejaskan proses kempen dan perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Namun begitu, beliau menasihatkan jentera yang terlibat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Saya faham kita nak bekerja pastikan calon kita menang bergaya tetapi dalam masa sama jaga kesihatan dan keselamatan diri. Kalau di tempat sesak pakai pelitup muka dan cuba penjarakan fizikal di tempat yang boleh dilakukan. Kalau gagal pakai pelitup muka boleh diambil tindakan,” katanya.

Beliau turut mengharapkan tiada sebarang tindakan diambil ke atas petugas kempen PRK DUN Slim ini kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan.

Berita penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/96856/KHAS/Koronavirus/Kerajaan-tak-cadang-kurangkan-denda-tak-pakai-pelitup-muka