Menjawab teori meleset dalam “Minda Presiden” parti ehem!
Setelah menipu dan memfitnah beberapa pihak dalam surat berbahasa arab beliau sebelum ini, nampaknya ketagihan untuk terus menipu dan memfitnah masih terus menghantui minda seorang pemimpin tertinggi parti ehem.
Media “Malaysia Dateline” ( lihat lampiran) telah menerbitkan berita kenyataan pemimpin tertinggi tersebut dalam portal mereka di mana dilaporkan bahawa kata-kata pemimpin tersebut telah diabadikan dalam “Minda Presiden”.
Antara tuduhan utama ke atas PH adalah kemenangan PH pada PRU 14 sebelum ini adalah “kemenangan yang tidak matang umpama durian yang gugur dan mentah hatta ditolak oleh tupai dan kera”.
Maka berkatalah pemimpin tertinggi tersebut ” beginilah nasib negara ketika PRU-14 dan pascanya sehingga negara terpaksa diselamatkan kerana mentahnya kemenangan yang tidak berkesudahan dengan krisis yang berlaku dan menyusahkan rakyat”.
Beliau juga dilapor berkata ” langkah menyelamatkan negara yang diambil dengan cara yang baik telah bertambah berat tanggungjawabnya akibat wabak COVID-19 yang menimpa seluruh dunia”.
Sebelum menjawab , izinkan, pertamanya, untuk saya berkata bahawa, dengan hormat, saya amat kagum dengan apa yang dikatakan kerana orang yang berkata dengan kalam tersebut seolah-olah tidak takut untuk bercakap perkara yang tidak benar !
Saya juga yakin majoriti para ahli parti yang bersama pemimpin parti itu sudah tentu akan mudah kagum, seperti biasa, dengan kata-kata pemimpin tersebut kerana budaya taat setia yang begitu kejap dan kukuh sudah begitu kejap dan kukuh tertanam dalam “physce” parti tersebut ( embedded in its physce) .
Keduanya, maaf kata, segala apa yang beliau katakan, dengan hormat, tidak mempunyai sebarang nilai intelektualisme -rendah apatah lagi tinggi- dan ini agak menghairankan kerana beliau mengemukakan “minda presiden” dan bukannya ” minda pengerusi mana-mana cawangan” parti! “Minda Presiden”, bagi saya, sewajarnya benar-benar bertaraf “minda presiden”-penuh dengan idea-idea besar, tuntas dan bernas!
Dikatakan kemenangan PH dalam PRU-14 adalah kemenangan yang tidak matang dan diibaratkan seperti durian yang mentah yang hatta haiwan seperti tupai dan kera juga tidak menyukainya.
Dengan hormat, hujah ini, bagi saya, adalah malangnya sebuah hujah yang berselirat dengan kegopohan sekaligus hujah tersebut gagal diselaputi oleh ilmu dan pemikiran yang rasional. Maaf, amat rendah mutu hujah ini.
Saya ingin bertanya : ” sedarkah beliau bahawa kemenangan PH pada PRU-14 itu didokongi oleh sokongan padu dan jitu rakyat kepada PH sehingga berjaya, buat kali pertama, negara ini mengukir sejarah ulung menumbangkan rejim yang telah memerintah negara ini hampir 60 tahun di peringkat persekutuan.
Justeru itu, mengatakan ianya adalah kemenangan yang tidak matang berpotensi besar meremehkan kematangan rakyat yang menjadi “katalis” (catalyst) utama kepada kemenangan bersejarah tersebut.
Jika beliau meremehkan pilihan rakyat, amat tidak wajar beliau dan parti beliau turut sama berpatisipasi dalam PRU 14 tersebut. Adakah beliau ingin mengatakan hanya kemenangan PH sahaja yang dilabel kemenangan yang tidak matang sedangkan kemenangan parti mereka dan parti sekutu mereka di beberapa negeri dianggap pula kemenangan yang matang dan ranum?
Ya, ia kemenangan buat PH. Tetapi, jika difikirkan secara mendalam ia juga adalah, hakikatanya, kemenangan rakyat dan juga kemenangan demokrasi!
Adakah pemimpin itu sedar bahawa ruh kemenangan dalam sistem demokrasi adalah berpaksi kepada mandat rakyat yang memilih Kerajaan yang mereka inginkan dalam satu sistem pungutan suara ( pilihanraya) yang bebas, yang didasari oleh pemilihan yang berdasarkan keputusan bermaklumat ( informed decision ) !!!
Beliau juga mengibaratkan kemenangan PH dalam PRU 14 itu seperti durian yang mentah.Takpe lah nak tuduh ianya ibarat durian yang mentah. Yang mentah, insya Allah, jika diperam, masih berguna dan boleh dimakan.Jauh lebih baik dari yang durian yang ditebuk tupai dan busuk di sini sana- hatta kera tidak dapat manfaat dari durian yang busuk! .
Walau pun habis keringat saya berusaha dan berhempas pulas untuk memahami ayat beliau ini ” negara perlu diselamatkan kerana mentahnya kemenangan… ” , saya masih sukar untuk memahami. Alasan “negara perlu diselamatkan” semacam tidak kena dan seolah- olah ianya diungkapkan oleh mereka yang sedang meracau pemikiran mereka-bercakap sekadar bercakap!
Bukankah kemenangan yang beliau katakan tidak matang dan mentah itu lebih layak dikaitkan dengan ” negara perlu diselamatkan” kerana negara dilanda wabak skandal kewangan yang begitu mega yang dilatari dengan amalam korupsi dan kleptokrasi telah hampir membankrapkan negara ini sebelum PRU 14. Adakah skandal yang terang dan nyata sebegitu masih
gagal dilihat dan dirasai?
Dituduh juga kononnya kemenangan PH itu telah menyusahkan rakyat! Ya, mungkin benar jika yang dikatakan menyusahkan rakyat tersebut kerana buat pertama kali mantan Perdana Menteri dan ramai menteri rejim lama-yang beliau dan parti beliau istiqamah sokong- berjaya didakwa di mahkamah atas pelbagai tuduhan jenayah. Dan pelbagai reformasi yang dibuat oleh PH menyusahkan untuk budaya korupsi dan kleptokrasi untuk tumbuh semula?
Maaf jika saya kata bahawa ibu segala kemelesetan hujah beliau boleh dilihat bila beliau kemukakan teori yang aneh dengan mengatakan ” langkah menyelamatkan negara dengan CARA YANG BAIK”…” Maaf, saya jawab cara kampung ya : ” TAK BAIK tau kata cara tebuk atap itu baik tau! Hatta Perdana Menteri dalam ” ucapan Mak Cik Kiah nya” sendiri mengakui Kerajaan yang ada sekarang ini bukan Kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
Justeru , di mana baiknya Kerajaan seperti itu ? Adakah Kerajaan yang dibentuk melalui tragedi pengkhianatan adalah Kerajaan yang dibentuk dengan cara yang baik?
والله اعلم
YB SEPANG