Hospital Klang catat penurunan 50% kemasukan pesakit Covid-19

Jumlah kemasukan harian pesakit COVID-19 untuk menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang berkurangan lebih 50 peratus sejak seminggu lepas.

Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata sebelum ini pihaknya menerima kira-kira 400 kes harian bagi pesakit COVID-19 untuk menerima rawatan, namun jumlahnya menurun kepada sekitar 170 pesakit sejak kebelakangan ini.

“Pesakit COVID-19 yang kini menerima rawatan di hospital berkurangan daripada lebih 1,000 pesakit dengan kemuncaknya pada Julai lepas. Setakat pukul 1 tengah hari tadi, pesakit sedia ada tidak sampai 900 orang. ‘Gelombang’ kemasukan pesakit di HTAR ini berlaku pada awal Julai sehingga pertengahan bulan lepas.

Hospital Klang

“Alhamdulillah kini jumlah (kemasukan pesakit) turun sejak minggu lepas. Susulan keadaan ini secara tidak langsung berlaku penurunan kepada pesakit kategori tiga ke atas untuk dimasukkan ke dalam wad,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau mengulas laporan media berhubung keadaan semasa di HTAR berikutan berlaku trend penurunan kemasukan pesakit COVID-19 sejak sebulan lepas dan paling ketara di Hospital Kuala Lumpur sejak seminggu lepas.

Dr Zulkarnain menjelaskan penurunan kes kemasukan pesakit itu membuktikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mula membuahkan hasil dan keadaan di hospital berkenaan juga dalam situasi terkawal.

Katanya sehingga pukul 1 tengah hari semalam, pengisian katil bagi unit rawatan rapi (ICU) pesakit COVID-19 adalah sekitar 92 peratus.

Berita Penuh : https://malaysiagazette.com/2021/08/17/kemasukan-pesakit-covid-19-ke-htar-menurun-lebih-50/

BACA JUGA : Terkini !!! Sumber PKR dedah Anwar lepasi jumlah sokongan diperlukan

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)