Rakyat Malaysia positif Covid-19 selepas sertai himpunan tabligh di India

Seorang wanita warganegara Malaysia berusia 22 tahun, yang menyertai perhimpunan tabligh antarabangsa di Delhi, India positif Covid-19, lapor Times of India.

Laporan itu menyatakan bahawa wanita berkenaan adalah antara 20 warga asing yang diuiji positif dalam tempoh 10 hari lalu.

Wanita itu kini sedang menjalani rawatan di Institut Sains Perubatan Rajendra di Jiharkand dan merupakan kes pertama Covid-19 negeri berkenaan.

Wanita berkenaan menaiki kereta api ke ibu kota Ranchi Jiharkand dari Delhi pada 17 Mac.

“… Perintah berkurung telah dikenakan di kawasan Hindpiri yang padat penduduk di Ranchi di mana wanita itu tinggal di kediaman peribadi berhampiran masjid selama beberapa hari.

“Lebih 10,000 penduduk di kawasan itu disaring,” kata laporan itu lagi.

Menurut polis India, kumpulan yang disertai wanita itu adalah sebahagian daripada warga asing yang tidak melaporkan ketibaannya seperti yang ditetapkan.

Pihak berkuasa India telah kuarantin lebih daripada 250 warga asing, yang menghadiri program berkenaan.

Di Tamil Nadu, Times of India melaporkan bahawa lebih daripada 60 warga asing dari Indonesia, Thailand, Malaysia dan Kyrgystan ditahan selepas menghadiri perhimpunan tabligh di Delhi.

“Sekurang-kurangnya enam daripada mereka, termasuk empat warga Indonesia, telah diuji positif. Kesemua mereka berada di wad pengasingan di hospital kerajaan di Salem.

“Sekurang-kurangnya 156 orang yang bersentuhan dengan mereka telah dikuarantin. Secara keseluruhannya, 74 orang peserta yang menghadiri program di Delhi tiba di negeri ini sejak Disember.

“Walau bagaimanapun, sekurang-kurangnya 12 daripada mereka sudah pulang sebelum perintah berkurung diisytiharkan,” tambahnya.

 

Berita Penuh: https://www.malaysiakini.com/news/518133

COMMENTS

Wordpress (0)