Hilang kerja kerana PKP, pancing ikan untuk pastikan anak isteri ada lauk

Seorang suri rumah tidak dapat membayangkan bagaimana nasib mereka 13 beranak yang penuh berliku sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Nor Aziah Anuar, 39, membe­ritahu, pandemik Covid-19 cukup memberi ­tamparan hebat buat keluarganya apabila mereka hilang sumber rezeki setelah suaminya, ­Ramizan Ramli, 40, hilang pekerjaan sebagai juru elektrik kontrak.

Katanya, sejak itu, suami sukar untuk mendapat kerja tetap kerana kebanyakan majikan te­lah mengurangkan bilangan pekerja mereka.

“Disebabkan tiada pekerjaan tetap, suami kadang-kadang akan pergi memancing ikan dan hasil tangkapan itulah menjadi lauk kami sekeluarga.

“Bila hari sudah lewat petang, saya akan hubungi suami sama ada dapat ikan atau tidak. Kalau dapat, adalah lauk bagi kami anak-beranak, jika tiada hasil, kami makan apa yang ada di dapur.

“Apa yang berlaku ini amat memeritkan buat kami sekeluarga. Jika PKP masih berlarutan, tidak tahu bagaimana masa depan kami sekeluarga,” katanya semalam.

Sebelum pandemik Covid-19 melanda dan PKP dilaksanakan, kehidupan keluarga besar itu hidup dalam keadaan serba sederhana bagi menyara 11 orang anak mereka berusia lingkungan empat bulan hingga 22 tahun di Kampung Kempas Baru di sini.

Ketika ini, keluarga besar itu menerima bantuan bulanan Baitulmal RM300, namun wang tersebut agak terhad untuk di­belanjakan.

Nasib menimpa keluarga itu mendapat perhatian Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia (Permata) yang tampil memberi bantuan barangan keperluan kepada mereka.

Presiden Permata, Faridah Hamzah berkata, pihaknya akan melancarkan tabung bantuan untuk keluarga itu selain membantu anak-anak Nor Aziah mendapat pekerjaan.

“Justeru, orang ramai yang ingin membantu keluarga tersebut serta golongan memerlukan boleh memberi sumbangan ke akaun Maybank Permata yang bernombor 551128630934,” ujarnya.

Berita Penuh :https://www.kosmo.com.my/2021/06/19/ikan-pancing-jadi-lauk-13-beranak/

CATEGORIES