Hasil minyak Sabah digunakan untuk penuhkan tabung Umno?

Hasil minyak Sabah digunakan untuk penuhkan tabung Umno?

Betulkah carigali di telaga minyak Sabah adalah untuk mengumpul dana UMNO?

Itu persoalan yang perlu penjelasan daripada UMNO yang ditimbulkan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman kepada wakil rakyat UMNO selepas video tular menunjukkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah diwawancara tentang bagaimana Akta Pembangunan Petroleum 1974 dimeterai.

“Seumpama menabur garam di luka, baru-baru ini viral pula satu temuramah yang berhormat Gua Musang bersempena dengan Hari UMNO ke 74 yang mana di dalam video tersebut yang berhormat Gua Musang menceritakan bagaimana sejarah UMNO cari dana untuk tabung UMNO.

“Saya harap yang berhormat Gua Musang dapat memberikan penjelasan tentang perkara ini sebab video ini viral di negeri Sabah beliau menambah pada ketika itu Allahyarham Tun Mustapha Harun tidak setuju dan telah direncanakan untuk dikalahkan dalam pilihan raya bagi memastikan perjanjian petroleum ditandatangani,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd. Azis berkata, video berkenaan seolah-olah memberi gambaran kenapa selama ini tuntutan royalti minyak Sabah tidak pernah ditunaikan kerana wang itu dimanfaatkan oleh pihak tertentu.

Bagaimanapun, Mohd. Azis berkata, beliau akan mencari rakaman penuh video itu untuk mencari kebenaran jika betul dirakam semasa wawancara Tengku Razaleigh sempena Hari UMNO Ke-74 atau pun tidak.

“Melalui rakaman ini, mungkin kita boleh justifikasikan mengapa tuntutan royalti minyak untuk Sabah itu perlu direalisasikan kerana jika telaga minyak Sabah telah dijadikan sebagai sumber tabungan UMNO, ia cukup melukakan hati rakyat Sabah pada ketika rakyat Sabah sehingga ke hari ini masih tersenarai di antara rakyat termiskin di Malaysia,” katanya.

Dalam video berdurasi empat minit 48 saat itu, Tengku Razaleigh berkata, cadangan melakukan carigali minyak timbul ketika beliau sebagai Bendahari UMNO pada masa itu sedang mencari alternatif lain untuk mengisi tabung UMNO selain daripada derma politik dan saham.

Katanya, beliau kemudian berjumpa dengan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak untuk mengemukakan cadangan berkenaan dan meminta kebenaran.

Menurut beliau, bekas Ketua Menteri Sarawak ketika itu bersetuju dan mencadangkan agar negeri itu diberikan bayaran tunai lima peratus, namun dibantah oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Mustapha Harun.

Berikutan itu katanya, UMNO kemudiannya menubuhkan parti Berjaya di Sabah untuk menjatuhkan Mustapha bagi memastikan perjanjian carigali minyak itu dimeterai.

“Itulah yang kita tubuhkan parti Berjaya, jatuhkan Mustapha kerana nak tandatangan minyak ini, saya dan beberapa oranglah tubuhkan Parti Berjaya pujuk Donald Stephen jadi ketua, jadi presiden lawan Tun Mustapha kita tandatangan perjanjian itu,” katanya.

Berita penuh : https://www.borneotoday.net/petronas-carigali-minyak-untuk-tabung-umno/