Hargai petugas kesihatan, pastikan kelengkapan mereka mencukupi


Setakat hari ini, iaitu hari ke-7 berkuatkuasanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Malaysia telah mencatatkan 1,624 kes positif COVID-19. Angka ini masih membimbangkan.

PKP ini bertujuan mematahkan rangkaian transmisi (‘break the chain of transmission’) selepas 18 Mac.

Bagi yang dijangkiti koronavirus ini sebelum bermulanya PKP, maka gejala penyakit akan mula kelihatan antara 18 dan 31 Mac.

Kluster program ijtima tabligh Masjid Seri Petaling telah menunjukkan 986 kes positif setakat ini, dan masih ada lagi kes dijangka akan dikenalpasti dari kluster in dalam waktu terdekat, manakala kadar pertambahan kes di luar kluster ini turut meningkat.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan berpandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menetapkan keperluan perkhidmatan dari segi sumber manusia dan bekalan perubatan seperti alat pelindung diri (PPE), katil hospital dan alat bantuan pernafasan (ventilator), seiring dengan kadar peningkatan kes sehingga ke hari ini, dan juga prospek peningkatan kes pada masa akan datang.

Strategi pengurusan kes juga perlu diperkukuh, di mana persediaan ruang khas (seumpama Pusat Kuarantin) bagi menempatkan kes-kes COVID-19 yang asimptomatik dan ringan perlu dilaksanakan.

Dijangka hampir 80% pesakit termasuk dalam kategori-kategori ini, yang memerlukan isolasi dan pemantauan setiap hari dengan keperluan perawat dan intervensi perubatan yang minima. Katil-katil hospital dan ICU perlu diutamakan bagi kes teruk dan kritikal.

Pakatan Harapan amat menghargai jasa dan bakti para profesional dan petugas yang berada di barisan paling hadapan (frontliners), kerana mereka merupakan perisai dan benteng kita pada ketika wabak COVID-19 melanda negara. Kita perlu pastikan mereka mempunyai kelengkapan PPE yang secukupnya untuk memastikan mereka selamat dari jangkitan silang (cross infection).

Masalah-masalah termasuk tekanan fizikal (fatigue) dan mental yang dihadapi mereka juga perlu diberi perhatian.

Pakatan Harapan juga berpandangan bahawa KKM perlu meningkatkan keupayaan kesihatan awam dengan meningkatkan kapasiti saringan RT-PCR, dan penyediaan lebih ramai petugas bagi tujuan pengesanan kenalan (contact tracing) .

Sebagai membantu dan memudahcara kakitangan barisan hadapan, adalah perlu pelaburan teknologi sewajarnya dalam bentuk aplikasi mobil dan kepintaran mesin dilaksana, sepertimana dilakukan di Korea Selatan, Taiwan dan Singapura.

Amat penting untuk seluruh rakyat mengambil tanggungjawab melaksanakan tuntutan PKP ini dengan #StayHome, #DudukRumah serta mengamalkan penjarakan sosial dan segala penjagaan kebersihan seperti etika ketika batuk-bersin, membasuh tangan dengan sabun atau sanitizer, memakai penutup muka ketika perlu. 

Komitmen kita semua adalah amat diperlukan untuk mengurangkan tempoh PKP yang dijangka akan dilanjutkan.

Semoga Allah sentiasa merahmati dan memelihara Rakyat & Negara tercinta ini.

YB DS Dr Dzulkefly Ahmad
Parti Amanah Negara (AMANAH) 

YB Dr Lee Boon Chye
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

YB Liew Chin Tong
Parti Tindakan Demokratik (DAP)