Harga barang naik : Muncul pun sekadar bagi nasihat, baik Menteri “hilang” terus pun takpa – KP Amanah

Harga barang naik : Muncul pun sekadar bagi nasihat, baik Menteri “hilang” terus pun takpa – KP Amanah

Saya meneliti dengan penuh tekun kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri KPDNHEP semalam. Alhamdulillah, akhirnya beliau muncul ke permukaan. ‘Tahniah dan syabas’ atas senarai panjang usaha-usaha yang telah beliau sebutkan, namun malangnya, masalah harga barangan yang melambung di seluruh negara masih berlaku dan belum selesai.

Untuk bergerak ke depan, pertama sekali menteri dan timbalan menteri perlu keluar daripada sindrom penafian. Usah berlindung di sebalik beberapa pasaraya seperti Tesco yang menjual ayam sejuk beku dengan harga rendah.

Bezakan antara harga ayam segar dan harga ayam sejuk beku. Memukul rata kedua kategori ini dengan akhirnya membuat kesimpulan bahawa harga ayam masih terkawal adalah lelucon yang mengundang tawa orang ramai.

Bahkan ‘nasihat’ yang beliau berikan agar pengguna menggunakan aplikasi Price Catcher juga sebenarnya boleh dinilai semula. Misalnya kalau semakan dibuat pada aplikasi itu dan harga ikan kembung yang rendah adalah sejauh 9 kilometer daripada lokasi semasa, adakah pengguna perlu bergerak sejauh itu untuk dapatkan sekilogram ikan kembung dengan harga yang munasabah?

Lebih malang, langsung tak disentuh tentang minyak masak yang harganya dah berbulan melambung tak turun-turun. Bahkan sempat pula beliau titipkan pesan agar rakyat Malaysia menjadi pengguna yang bijak. Aduhai, kalau itulah mauduk besar yang mahu disinggung, lebih baik beliau ‘hilang’ terus pun tidak mengapa.

Mengapa tidak ditetapkan harga siling? Kita tercari-cari juga dalam kenyataan 6 muka itu kalau-kalau ada diumumkan harga siling barangan. Tiada! Kalau inilah kualiti menteri kabinet yang ada sekarang, tidak peliklah mengapa tempelan #KerajaanGagal masih terus melekat.

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Ketua Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN)
Ketua Pemuda AMANAH Nasional