Harapan musnah : Mahathir dengan Anwar macam anjing dengan kucing

Terlintas di fikiran mahu menamatkan cerita tidak berkesudahan tentang polemik calon perdana menteri dalam hikayat panjang merebut kembali pemerintahan yang dirampas akhir Februari lalu.

Peluang dan potensi terbuka luas apabila gabungan rapuh kerajaan pintu belakang terus gagal mempamerkan keabsahan di Dewan Rakyat. Sidang Parlimen pun menjadi sendaan apabila pandemik virus korona menjadi benteng menutup kebaculan.

Pelbagai krisis nasional dan masalah negara tidak dapat dibahaskan secara tuntas oleh wakil-wakil rakyat kita. Prestasi sebahagian besar anggota Kabinet langsung tidak menyerlah.

Hatta nama-nama mereka pun tidak dikenali rakyat, apatah lagi dasar-dasar baharu atau program-program berkaitan kebajikan dan kepentingan rakyat.

Yang heboh, agihan ghanimah berbentuk jawatan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berimbuhan lumayan. Syarikat strategik yang dipimpin tokoh profesional dan berpengalaman, di bawah era Pakatan Harapan (PH) kini disumbat oleh politikus Perikatan Nasional (PN). Belum lagi dirincikan proses tender projek-projek yang kini dimonopoli oleh kroni.

Umno dan Bersatu khususnya sibuk menunjukkan taring masing-masing bagi melonjakkan diri sebagai parti dominan kerajaan. Tunggulah perang besar tiga parti Melayu itu menjelang proses agihan kerusi PRU-15.

Parti tertentu dan beberapa personaliti wakil rakyat di Borneo bersikap tunggu dan lihat memerhati perkembangan, sebelum mengesahkan apa-apa sokongan.

Malangnya kesempatan berharga untuk mendaulatkan mandat rakyat PRU-14 seperti disia-siakan PH. Mesyuarat tidak habis-habis; masyarakat awam sudah naik muak dan jelak.

Dua sosok utama pembangkang, Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim gagal mencapai persefahaman, kembali bersengketa, macam anjing dengan kucing, seolah-olah bersedia untuk saling kempunan.

“Kalau aku tak dapat, biar hang pun tak dapat juga.” Tidak puas sindir-menyindir setiap kali membuat hebahan media. Dilihat perdebatan terbuka di alam siber, situasi 1998 nampak berulang, tembak-menembak, londeh-melondeh, gelar-menggelar.

Kemaruk kuasa

Sensitiviti setiap kelompok tidak dipedulikan lagi. Seolah-olah bukan daripada regu yang sama. Mendabik dada bagaikan hanya kita berpegang prinsip, pihak lain yang kemaruk kuasa, yang sebenarnya menjarakkan lagi dengan peluang yang asalnya terbuka luas untuk kembali memerintah dan menyambung agenda pembaharuan yang tertunda.

Sedangkan momentum kian lemah dan terkulai ekoran tertangguh dan terus tertangguh. Ramai khalayak mengimpikan PH kembali mentadbir tetapi mereka juga bosan dengan percakaran dalaman itu.

Pertemuan demi pertemuan diusahakan, ke sana ke sini, selama lebih 100 hari tapi tetap gagal. Mahathir-Anwar pun sukar berbincang dari hati ke hati, empat mata.

Masing-masing ada hujah sendiri dan tidak berganjak walaupun setapak (baca: keras kepala), konon komited dengan idealisme. Parti Amanah Negara dan DAP cuba berperanan sebagai orang tengah dan pendamai. Malang sekali kedua-dua parti ini juga turut dilabel panggilan jelek.

Setiap kumpulan hanya mahu mendengar pandangan yang serasi dengan mereka. Ditohmah gian untuk kembali ke pejabat menteri. Bukankah kuasa itu memungkinkan pembaharuan dan pembaharuan?

Maka ada sindirin halus, sepanjang 22 bulan pentadbiran Mahathir-Wan Azizah, apa perubahan yang mampu dilakukan? Saya akan menulis catatan khusus, respons terhadap persoalan ini.

Susahnya mencari persepakatan dan persetujuan; rela terus menjadi pembangkang walaupun mandat rakyat jelas bersama Pakatan Harapan. PH juga kelihatan seperti dirobek kesatuannya.
Tidak mustahil situasi berbeda bakal melakari senario baru menjelang PRU-15. Mungkin timbul blok ketiga ataupun blok-blok sedia bakal berubah dengan drastik sekali. Musuh bersama, rakan bercerai!

Kepada yang seronok mencanangkan lebih baik kita bersiap siaga hadapi PRU-15 daripada menyusun taktik merampas balik kuasa, harus beringat, kesatuan pembangkang belum pasti seperti sekarang ketika itu. Pelbagai kemungkinan boleh tercetus, termasuk yang mengejutkan ataupun yang tidak terjangka.

Di pihak PN, semasa menggulingkan kerajaan mandat rakyat dulu, nampak seperti mudah pula Muhyiddin diangkat menjadi kepala gerabak keretapi biarpun konspirasi itu mempunyai ramai ketuanya.

Target utama, kerajaan PH mesti diruntuhkan dahulu, cerita berbangkit kemudian akan ditangani bila tiba masanya; ikut tertib dan keutamaan.

Secara personal, saya turun terkesan dan lelah dengan permainan kuasa elit politik ini. Berpusing-pusing di persimpangan yang sama, gagal menyeberang walaupun lampu isyarat sudah bertukar warna hijau berkali-kali.

Justeru, terlintas persoalan, sampai bila aku terus membuang masa melayani karenah dua orang tua ini? (Soalnya, sewaktu terlantar uzur ini, masa lapang saya begitu lumayan)

Berita penuh:

https://malaysiadateline.com/episod-pujuk-memujuk-calon-perdana-menteri-ph-plus-sudah-berakhir/