Harap Ustaz Ebit Lew bantu pemain bolasepak muda negara

Harap Ustaz Ebit Lew bantu pemain bolasepak muda negara

“Kalau payah sangat pentadbir sukan di Malaysia nak bantu Diniz Irwan, saya mohon pihak korporat atau pendakwah, Ustaz Ebit Lew bantu pemain muda negara kita”.

Itu kata bekas legenda bola sepak negara, Bakri Ibni yang berharap Ustaz Ebit Lew dapat membantu Diniz yang kini berdepan tindakan undang-undang di Jerman ekoran kegagalan membayar tunggakan yuran persekolahannya di sana.

Bakri antara individu terawal yang mengesan bakat Diniz ketika berada di Akademi Bola Sepak Tunas Legenda dari 2012-2016 lalu dan mengakui pemain berusia 20 tahun itu mempunyai bakat semula jadi yang terbaik.

Katanya, kemampuannya terbukti apabila mewakili salah sebuah akademi bola sepak negara seperti Frenz United sebelum menerima tawaran daripada skuad pembangunan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bukan itu sahaja, Diniz juga pernah terpilih berlatih di Cardiff City di England dan di Valencia, Sepanyol sebelum memberanikan diri bermain untuk kelab divisyen lima Jerman, Eddersheim FC di Frankfurt.

Bagaimanapun, disebabkan tawaran yang diterimanya bukan sebagai pemain profesional disamping kedudukan ranking bola sepak Malaysia yang menyukarkan untuknya didaftarkan beraksi di sana, Diniz terpaksa melanjutkan pelajaran bagi membolehkan dia terus kekal dan bermain dengan Eddersheim FC.

Jelas Bakri, semangat dan keberanian pemain muda itu cukup luar biasa dan beliau yakin Diniz akan jadi antara tonggak utama buat skuad Harimau Malaya satu hari nanti.

“Saya sebenarnya dah cuba bantu jumpa ramai orang terutama pentadbir sukan kita untuk bantu Diniz. Tapi semuanya diam sahaja.

“Kalau ikutkan dia boleh saja main di Liga Malaysia tapi saya faham dia nak main di tahap lebih tinggi lagi. Bukan saja dia buat untuk diri dia, tapi dia buat untuk bola sepak Malaysia.

“Tapi itulah individu di persatuan sukan tak nampak, jadi fikir dah tiba masanya syarikat-syarikat tampil hulurkan bantuan.

“Kalau Ustaz Ebit Lew boleh tolong Alhamdulillah. Pemain muda ini adalah aset negara, seharusnya dibantu dan bukannya dibiarkan jauh di sana,” katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Diniz kemungkinan bakal dihadapkan ke mahkamah di Jerman dalam masa terdekat dan berisiko dipenjara jika gagal membayar tunggakan yuran pembelajarannya.

Bapanya, Irwan Adnan berkata, sejak anaknya itu terpilih menyertai Eddersheim FC yang beraksi di saingan divisyen lima Jerman itu, banyak peningkatan yang ditunjukkan Diniz apabila kini sudah berjaya mengetuk pintu skuad kedua dan berpeluang untuk menembusi pasukan utama tidak lama lagi.

Namun, masalah tunggakan yuran pembelajaran di sebuah sekolah separuh kerajaan di sana kemungkinan menyebabkan Diniz bakal dihadapkan ke mahkamah, ketika dia hanya tinggal setahun lebih untuk menamatkan pengajian sekali gus menerima sijil setaraf diploma.

Jelasnya, tunggakan sejumlah €33,000 Euro atau RM163,000 diperlukan untuk melunaskan tunggakan yuran yang mula tertunggak sejak Oktober tahun lalu serta bayaran hingga tamat pengajian tahun depan.

Berita Penuh :https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/04/696379/bakri-ibni-harap-ustaz-ebit-lew-bantu-diniz