Haniza Talha dilucut dari jawatan exco kerajaan negeri Selangor

Hari ini adalah hari terakhir Yang Berhormat Puan Hajah Haniza Mohamed Talha berkhidmat sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar .

MMKN telah bermesyuarat pada hari Rabu, 8 Julai yang lepas berkenaan status YB Puan Haniza Mohamed Talha bersesuaian dengan keputusan Parti Keadilan Rakyat berkenaan pelucutan keanggotaan beliau.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah memberi perkenan berkenaan hal ini dalam majlis sembah maklum yang diadakan pada hari Khamis, 9 Julai 2020.

Sehubungan dengan itu, portfolio berkenaan akan dipangku oleh Dato’ Menteri Besar dan sebarang program berkaitan portfolio berkenaan turut ditangguhkan buat sementara waktu sehingga dimaklumkan kelak.

Kerajaan Negeri ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan YB Puan Haniza Mohamed Talha dan selamat maju jaya.

YAB Dato’ Seri Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor

Sumber :