Hamzah akui ada bertemu Anwar

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin mengakui ada bertemu dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim baru-baru ini, lapor Bernama.

Beliau yang juga menteri dalam negeri ketika ditanya wartawan Bernama berkata ia adalah pertemuan peribadi individu yang sudah tidak berjumpa selama beberapa tahun.

Hamzah selanjutnya dipetik Bernama berkata perkara yang dibincangkan adalah perkara peribadi yang tidak perlu dihebahkan kepada umum.

Pada 19 Jun lalu, Ketua Whip PKR, Johari Abdul mengesahkan bahawa Anwar sebelum ini telah berjumpa dengan beberapa pemimpin di “blok sebelah”.

Jelasnya, keputusan ini dibuat setelah PKR bertekad untuk menolak Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri sekali lagi.

Kata Johari, Anwar memaklumkan perkara itu pada mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan anggota parlimen PKR yang dibuat secara dalam talian pada ketika itu.

Antara nama pemimpin yang disebut termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dan pemimpin kerajaan Sarawak.

Dalam perkembangan lain, Hamzah hari ini dipetik Bernama berkata tidak ada masalah bagi beliau membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) daripada Umno pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang sedang berlangsung, walaupun beliau telah meninggalkan parti itu.

Jelasnya, perkara itu tidak menjadi masalah kepadanya memandangkan beliau berpegang kepada prinsip perjuangan sejak dari Umno sehingga menyertai Bersatu.

“Agenda perjuangan saya adalah untuk agama, bangsa dan negara. Kalau saya bersama mana-mana parti sekalipun, asalkan ia mengikut apa yang saya perjuangkan dan sama dengan prinsip saya, maka saya akan tegas keluar untuk membantu.

“Kalau dahulu semasa saya bersama Pakatan Harapan (PH), mungkin saudara saudari tidak pernah melihat, malah dalam parlimen pun, saya tidak bercakap apa-apa (tentang perjuangan PH),” katanya, lapor Bernama.

Hamzah berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Chini di Dewan Semai Bakti Felda Chini Timur 3 di Chini hari ini, yang turut dihadiri timbalan beliau, Dr Ismail Mohamed Said.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU), Hamzah yang ketika itu anggota Umno menang atas tiket BN sewaktu kerajaan BN tumbang pada PRU itu.

Pada Disember 2018, beliau telah keluar Umno bersama beberapa orang lagi MP parti itu dan menyertai Bersatu sebelum dilantik sebagai Setiausaha Agung Bersatu pada Mac lepas.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/532078