Sekatan jalan raya dan lencongan yang dilakukan di sepanjang jalan menghala ke Parlimen pagi ini dilakukan selepas polis menerima maklumat terdapat perhimpunan aman dirancang beberapa pihak di luar bangunan Parlimen.
Bagaimanapun, dalam satu sidang media sebentar tadi, Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim menjelaskan perhimpunan solidariti bersama Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim itu tidak membabitkan Ahli Parlimen.
“Kita juga telah semak dengan Parlimen yang memaklumkan bahawa hari ini tiada persidangan, sebab itu kita telah buat sekatan dan lencongan tidak benarkan kenderaan dan orang perseorangan daripada masuk ke Parlimen. Itu asas tindakan kita pada pagi tadi,” katanya.
Beiau berkata, Ahli Parlimen dibenarkan masuk ke bangunan Parlimen berdasarkan amalan biasa.
“Setahu saya mereka ada pejabat dalam tu, setahu saya mereka boleh masuk di sana.
“Kita tidak terima mengenai protes Ahli Parlimen, ini protes lain. Demi menjaga keselamatan masyarakat, kita buat sekatan di Kuala Lumpur dan lakukan lencongan,” katanya.
Bagaimanapun, Azmi berkata polis sudah membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan membabitkan Ahli Parlimen pembangkang di laluan masuk ke Parlimen pagi tadi selepas menerima dua laporan polis.
“Kes itu disiasat bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2021 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.
Terdahulu, laluan masuk ke bangunan Parlimen dihalang polis seawal 8.40 pagi, dengan kenderaan dari Lebuhraya Sultan Iskandar diarah berpatah balik.
Seorang pegawai memberitahu FMT, jalan itu disekat “kepada semua”, dengan seorang Ahli Parlimen mengesahkan mereka juga tidak dibenarkan melepasi sekatan polis.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Azmi berkata, pihaknya sudah memanggil 11 individu bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan #Lawan yang diadakan pada 31 Julai lalu.
Beliau berkata, kertas siasatan sudah dibuka dan mereka yang dipanggil disiasat bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2021 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Kita juga minta kerjasama daripada media untuk berkongsi gambar dengan polis bagi mengesan mereka (peserta perhimpunan). Kita percaya mereka boleh bantu siasatan,” katanya.
Pada 10.30 pagi 31 Julai lalu, kira-kira 450 orang berkumpul di Dataran Masjid Jamek, Kuala Lumpur dan mula berarak melalui Jalan Tun Perak menuju ke Jalan Raja sambil membawa kain rentang yang ditulis “Kita mati dalam derhaka, #keluardanlawan dan Lawan Koruptor”.
Perhimpunan ini berlangsung dalam tempoh lebih kurang dua jam.
Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/02/polis-siasat-protes-ahli-parlimen-pembangkang/