Hadi sucikan PAS dari kesilapan : Inilah sebab PAS patut dijauhi

Antara sebab yang menjauhkan saya dengan PAS di mana sebelumnya saya adalah pengundi, pengkagum dan sentiasa mempertahankan PAS apabila benih-benih mentaqdiskan pemimpin dan parti mula muncul dalam PAS. Mentaqdis pemimpin dan parti bermaksud menyucikan ketua parti dan parti dari dosa, kesilapan dan kesalahan. Mana mungkin seorang yg bukan nabi atau rasul dan manusia biasa itu suci dari salah silap dan dosa sekalipun dia seorang ulamak dan ketua parti? Begitu juga sebuah parti politik pasti akan ada salah dan silap kerana ia dipimpin oleh manusia. Tidak kira samada ia sebuah parti Islam atau parti sekular. Oleh itu sikap mentaqdis ini merupakan permulaan kerosakan berlaku dalam PAS dan penyebab utama saya menjauhinya. Ia sangat bahaya dalam kita hidup beragama dan bernegara. Boleh membawa kesesataan dan juga hura-hara dalam negara.

Tentu kita masih ingat pada tahun 2015 salah seorang AJK Dewan Ulamak PAS Pusat telah menulis bahawa presiden PAS “Dari sudut amalan dan rohani pula, dia telah mencapai tahap mukmin muttaqin yang tidak melakukan dosa dengan sengaja. Ternyata muwasofat ini ada pada Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang memimpin PAS sebagai HI di Malaysia ketika ini. Dengan itu, mengikut disiplin HI iaitu berdasarkan sunnah pemilihan Khalifah, maka tiada siapa yang boleh mencabarnya selagimana dia tidak berhasrat meletakkan jawatan dan dia juga tidak berbuat maksiat kepada Allah”.

Kenyataan di atas disiarkan dalam harakah, disebar kepada semua melalui FB, whatsapp dan lain-lain. Tiada siapapun menegur dan membantahnya dikalangan pemimpin, ustaz dan ulamak dalam PAS. Sedangkan kenyataan itu sebenarnya boleh membawa kepada kekeliruan sehingga menetapkan sifat maksum tidak berdosa kepada presiden PAS agar ahli mentaati dan memberi wala’ sepenuh jiwa kepadanya.

Kenyataan: “Tidak melakukan dosa dengan sengaja” dan sifat-sifat itu ada pada Presiden PAS maksudnya presiden suci dan tidak ada dosa walaupun melakukan dosa kerana dia melakukan dosa tanpa sengaja. Melakukan dosa tanpa sengaja pula tidak dikira oleh Allah ta’ala sebagaimana firmanNya bermaksud: “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi yang dikira berdosa itu ialah perbuatan yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.(Al Ahzab: 5)

Ia bercanggah dengan nas syarak dimana Nabi telah bersabda bermaksud: “Setiap anak adam berdosa dan sebaik-sebaik orang yg berdosa ialah mereka yang bertaubat(Hadis riwayat Termizi dan Hakim). Ia juga bercanggah dengan pegangan ahli sunnah wal jamaah iaitu semua manusia berdosa kecuali Nabi dan Rasul. Al-Imam Hasan Al-Banna ada menetapkan 20 asas Ikhwan Muslimin antaranya ialah asas yang ke 6: “Seseorang diterima & ditolak pendapatnya kecuali yang terpelihara dari dosa(ma’sum) iaitu Nabi Muhammad sollallahu’alaihiwasallam.

Para khalifah yg empat Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali walaupun mereka itu semulia-mulia manusia dan sahabat Rasulullah sollallahu’alaihiwasallam namun mereka tidak mendakwa suci dari dosa atau sampai ke tahap jika melakukan dosa ia secara tidak sengaja. Bahkan mereka antara yg sangat insaf atas kelemahan diri contohnya Abu Bakar sebaik sahaja dilantik sebagai khalifah terus berkhutbah:- “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku.” Siapalah presiden PAS jika hendak dibandingkan dengan para khalifah tersebut ? Sehingga meletakkannya di maqam yang tersangat suci?

Itu dulu tahun 2015. Sehari dua ini muncul pula dakwaan yg membawa kepada taqdis parti pula. Ia mata rantai dari pandangan-pandangan terdahulu. Dalam Minda Presiden PAS bertarikh bertarikh 18 Syawwal 1441 / 10 Jun 2020 ada menyebut:-

“PAS mempunyai kaca mata dan kaca teropong yang putih bersih sehingga dapat melihat semua warna yang sebenar tanpa tersilap. PAS tidak boleh dikelirukan dengan kaca mata yang berwarna sehingga tidak kenal warna yang di luar atau warna yang diubah untuk mengelirukannya.”

Kenyataan penuh kinayah dan mantiq di atas boleh ditafsirkan PAS parti yang tidak akan silap dan salah dalam membuat keputusan. Pemimpim-pemimpinya tidak boleh dikelirukan. Presiden PAS sebenarnya mahu meyakinkan pengikut dan pentaasub supaya tidak pertikai, terus setia bersama PAS dan wala’ kepada pemimpin kerana tindakan PAS sentiasa betul. Secara halus sebenarnya kenyataan sebegini boleh membawa kekeliruan umat Islam sehingga mereka boleh menarafkan PAS sama dengan agama tidak boleh dipertikai, tiada salah, silap dan kepincangan. Sedangkan parti itu hanya ciptaan manusia yg maha kurang dan agama pula dari Tuhan Yg Maha Suci.

Syeikh Dr Yusuf Qardhawi bekas Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia ada mengariskan ciri-ciri ketaasuban yg perlu dihindari. Salah satunya ialah: “Taasub kepada puak atau parti atau kumpulan yang diangotainya oleh muslim sehingga menyifatkan partinya seolah-olah suci & maksum. Apa yg dikatakan oleh parti adalah benar, semua yg dilakukan oleh parti adalah cantik, apa yg dikeluarkan oleh parti adalah betul, semua sejarah parti adalah gemilang, dan semua pemimpin parti seolah-olah malaikat”. ms 132, As-Sohwah Al Islamiah, Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi.

Begitulah PAS sekarang ini. Politiknya telah melangkaui prinsip moral dan agama. Politiknya sangat mirip dengan wilayah faqih dalam Syiah iaitu ulamak berkuasa mutlak memerintah negara, dilarang mempertikai bidang kuasa dan tindakan mereka. Sesiapa yang mempertikai mereka seolah-olah mempertikai perintah Allah dan RasulNya.

Apa sahaja yang dibuat oleh PAS sekarang seperti bersekongkol dengan perasuah, menyokong pengkhianat mandat rakyat, tidak mencegah kemungkaran politik, menerima habuan politik berbentuk jawatan dll semuanya dianggap benar, tidak ada kesalahan dan betul belaka sekalipun ia bercanggah dengan nas agama, prinsip dan moral. Berbeza dengan PAS di zaman al marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dahulu. Al marhum Tuan Guru tidak menyeru kepada taqdis parti sehingga beliau bersedia bubarkan PAS. Beliau juga tidak menyeru pengikutnya memberi wala’ yg mutlak kepadanya dan menyucikan dirinya. Cuba renung kata-kata Al Marhum Tuan Guru ini :-

“Mana ada di atas dunia ini orang yang tidak mahu orang lain taat & patuh kepada dia. Kita pun hendak ! Ambopun hendak! Tetapi dengan sebab kita mengaji, dengan sebab kita mendapat hidayah, kita mendapat taufiq, maka kita memimpin orang hanya untuk berabdi kepada Tuhan. Kita hanya titian – kerana Allah berikan kepada kita sedikit ilmu, Tuhan berikan kepada kita sedikit kecerdikan – sebagai tempat demo meniti untuk sampai ke seberang sana. Jangan biarkan orang berhenti setakat kita sahaja….” ms 147 Tafsir Surah Hud, Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Wahai sahabat-sahabat PAS. Tiba masanya kalian kembalikan PAS ke landasannya yang sebenar mengikut Quran & Sunnah.

Wallahua’lam.

Sumber :