Hadi pun tahu apa hukum sokong pengkhianatan. Presiden PAS, Abdul Hadi Awang terlepas fakta penting dalam mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN), iaitu sebuah kerajaan muncul atas pengkhianatan, kata Naib Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa.
Beliau berkata, latar belakang sebuah kerajaan yang muncul atas pengkhianatan dan mereka yang bersekongkol dengan pengkhianat adalah satu fakta serta kegagalan yang perlu diakui.
“Dia (Hadi) pun tahu apa hukum menyokong pengkhianatan. Rakyat hilang kepercayaan kepada kerajaan sebab adanya kuat kuasa undang undang secara dua darjat.
“Rakyat kena kompaun tetapi menteri dan selebriti lambat untuk diambil tindakan. Ini menyebabkan rakyat marah,” katanya kepada FMT.
Mujahid berkata, tindakan Hadi membidas golongan yang menghamburkan kritikan terhadap kerajaan dalam usahanya menangani wabak Covid-19 adalah tidak wajar dan hanya mempertahankan sebuah kerajaan yang telah gagal.
“Hanya yang gagal mempertahankan kegagalannya,” katanya.
Pada 12 Julai lalu, PAS membidas golongan yang menghamburkan kritikan tidak wajar terhadap kerajaan dalam usahanya menangani wabak Covid-19 sekali gus mengingatkan sehingga kini belum ada negara yang boleh mendabik dada berjaya dalam menghadapi penularan virus itu.
Hadi mengecam golongan yang menguar-uarkan Malaysia gagal menangani wabak Covid-19 dengan berkata, hanya mereka yang masih “bermain politik” akan berbuat demikian.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Faiz Fadzil berkata, Hadi seolah-olah hilang arah untuk mempertahankan kerajaan dengan cuba mengalihkan kesalahan kepada PH dan PAS sepatutnya memainkan peranan lebih proaktif menyelesaikan masalah rakyat.
“Hadi sebenarnya menyalak bukit yang salah. Namun, tidak nampak apa-apa sumbangan PAS dalam menangani masalah pandemik ini selain daripada menyalahkan orang lain dengan pelbagai dalil agama yang mengelirukan.
“PAS yang dulu mendakwa sebagai ‘king maker’, tetapi kini dilihat sebagai ‘pocket maker’ yang hanya mementingkan kepentingan politik dan bukan lagi masalah rakyat,” katanya.
Faiz berkata, laungan kerajaan gagal hari ini adalah suara rakyat kerana rakyat melihat kerajaan gagal menguruskan masalah pandemik dan ekonomi dengan baik.
Katanya, rata-rata rakyat baik pengguna media sosial mahupun di lapangan merungut tentang kegagalan kerajaan.
Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/15/hadi-terlepas-fakta-penting-tahu-hukum-sokong-pengkhianatan-kata-mujahid/
BACA JUGA : Hadi dakwa pembangkang heret Raja-Raja Melayu ke kancah politik