Hadi bayangkan pemimpin Pas semua bermoral, bebas maksiat

PAS hari ini menegaskan parti itu sangat mementingkan isu moral dan maksiat dalam kalangan pemimpin serta anggota partinya.

Jika didapati ada antara mereka melakukan kesalahan membabitkan moral atau dosa, maka tindakan tegas termasuk pecat akan diambil, kata presidennya Abdul Hadi Awang.

“Yang penting moral dulu… kalau buat sesuatu maksiat yang bercanggah dengan lslam dan moral, kita pecat dia,” katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Abdul Hadi sebelum itu menghadiri Konvensyen Setengah Tahun Perikatan Nasional (PN) dan ditanya mengenai isu kegagalan salah seorang pemimpin PAS, Dr Khairuddin Aman Razali, mematuh prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Ahli Parlimen Kuala Nerus yang dilantik menjadi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu didapati gagal melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari selepas pulang dari Turki.

Dia tiba di negara ini pada 7 Julai dan hadir di Dewan Rakyat kurang dari tujuh hari kemudian. Walaupun memberikan beberapa alasan sebelum itu Khairuddin kemudian mengakui kesalahan tersebut dan menawarkan gajinya sebagai menteri selama empat bulan untuk disumbangkan kepada tabung Covid-19.

Dia juga dikompaun maksimum RM1,000. Polis pula sudah mengambil keterangan Khairuddin dan beberapa anggota keluarganya yang bersama mengikut kunjungan ke Turki itu.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, pula mempertahankan Khairuddin dengan mengaitkannya dengan salah satu kisah dalam al-Quran membabitkan kejadian burung hudhud pada zaman Nabi Sulaiman.

Banyak pihak menyatakan rasa tidak puas hati dengan cara kes itu ditangani dan mendesak Khairuddin dikenakan tindakan mahkamah dan meletak jawatan.

Kata Abdul Hadi dalam PAS apa yang paling diutamakan ialah pertimbangan daripada segi maksiat atau tidak.

“Dalam PAS yang pertama adalah dari segi maksiat dulu, yang kedua – kalau ada salah laku itu – kita serah kepada undang-undang,” katanya.

Turut menyampaikan ucapan dalam konvensyen itu adalah Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, serta Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan ketua pemudanya Khairil Nizam Khiruddin.

Presiden dan ketua pemuda Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang dijadual berucap bagaimanapun tidak hadir.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/540929