Had laju 30 km/j bakal diperkenalkan di Kuala Lumpur

Had laju 30 km/j bakal diperkenalkan di Kuala Lumpur.Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sedang berusaha memperkenalkan had laju 30 dan 50km/j di kawasan terpilih di ibu negara tidak lama lagi.

Ini susulan kunjungan hormat Pengerusi MIROS Suret Singh dan Ketua Pengarahnya Khairil Anwar Abu Kassim ke atas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mahadi Che Ngah.

Usahasama dua badan itu melibatkan mengenal pasti jalan raya di mana had laju berkenaan boleh dilaksanakan sebagai langkah keselamatan.

Dalam hantaran di Twitter susulan pertemuan itu, Suret mengumumkan institusi berkenaan akan bekerjasama dengan DBKL untuk menjadikan perancangan itu satu realiti.

Menurutnya, perbincangan semalam berkisar mengenai kemungkinan perkongsian rekod dan data antara DBKL serta MIROS.

Ini termasuk rakaman kamera litar keselamatan tertutup (CCTV) bagi kesalahan trafik yang dilakukan di ibu negara.

MIROS kini dalam peringkat akhir merangka cadangan untuk had laju standard 30km/j bagi kawasan kediaman dan penduduk, bandar serta kampung sebagai sebahagian daripada pelan keselamatan jalan raya kebangsaan 2022-203.

Malaysia antara negara yang meratifikasi Deklarasi Stockholm berhubung keselamatan jalan raya, dalam persidangan menteri global yang diadakan pada Feb 2020.

Lapan puluh menteri yang menghadiri persidangan itu berikrar mengurangkan sehingga separuh bilangan kematian jalan raya menjelang 2030. Turut dicadangkan, had laju 30km/j sebagai “norma baharu” di kawasan di jalan lazim digunakan bersama oleh penunggang motosikal, pemandu kereta, pejalan kaki dan penunggang basikal.

BACA JUGA : Setelah teruk dikritik, akhirnya Pengerusi LPPR tampil buat penjelasan
Gara-gara hilang sumber pendapatan, wanita ini terpaksa masak batu agar anak kelaparan tertidur
Saiful Apek dan Yasin tersingkir, DS Vida dedah ‘permainan’ belakang GV

Artikel ini disiarkan pada 11/01/2022