Guru cabul murid hanya didenda RM20 ribu, aktivis zahir kerisauan

Guru

Guru cabul murid hanya didenda RM20 ribu, aktivis zahir kerisauan. Hukuman denda RM20,000 terhadap seorang guru atas kesalahan mencabul pelajar bawah umur adalah terlalu ringan dan berisiko menghantar mesej negatif kepada masyarakat, menurut beberapa aktivis.

Noor Azimah Abdul Rahim daripada Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) berkata, kes cabul pelajar oleh guru atau kakitangan sekolah adalah jenayah serius dan tindakan lebih tegas perlu dikenakan.

“Tentu sekali hukuman (dalam kes ini) nampaknya teramat ringan. Pencabulan para pelajar oleh guru-guru atau kakitangan sekolah merupakan satu jenayah serius mengikut Kanun Keseksaan dalam bentuk pencerobohan hak asasi para pelajar.

“Guru ini patut dipecat serta-merta dan pencennya digantung. Dia tidak lagi boleh mendekati kanak-kanak dan sepatutnya disenaraikan sebagai pesalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” katanya kepada FMT.

Noor Azimah Abdul Rahim.
Sementara itu, Presiden Nation Of Women (NOW) Haniza Mohamed Talha berkata, hukuman denda itu memberi mesej salah kepada masyarakat dengan seolah-olah menganggap jenayah sebegitu tidak berat, walhal ia meninggalkan kesan kekal kepada mangsa.

Guru

“Keputusan mahkamah perlu setimpal dengan kesalahan dilakukan sebagai amaran dan pencegahan kepada mana-mana pihak berniat melakukan jenayah itu,” katanya.

Rabu lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman denda RM20,000 atas seorang guru matematik yang didapati bersalah atas dua tuduhan mencabul kehormatan murid lelaki berusia 11 tahun.

Haniza Mohamed Talha.
Panel tiga hakim dipengerusikan Suraya Othman juga menolak rayuan pendakwa raya bagi mengenakan hukuman lebih berat dan berkata, denda RM10,000 bagi setiap kesalahan adalah “memadai”.

Pegawai komunikasi Sisters in Islam (SIS) Aleza Othman, yang berasa kesal dengan keputusan ini, berkata tindakan guru terbabit bukan sahaja melanggar amanahnya sebagai seorang pendidik, malah mencabul hak dan keselamatan murid berkenaan.

“Kes cabul guru terhadap anak muridnya adalah kes berat dan hukuman RM20,000 ditetapkan mahkamah tidak memadai. Lebih mendukacitakan, pendakwa raya telah merayu untuk hukuman lebih berat, namun ditolak,” katanya.

Terdahulu, Kamarul Azamin Mohamed, 40, pada awalnya dituduh melakukan kelucahan melampau terhadap kanak-kanak bawah usia 14 tahun di bilik guru pada 4 Mei 2016 dan melakukan perbuatan sama pada 6 Mei di bilik komputer sebuah sekolah di Brickfields.

Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman lapan tahun penjara dengan satu sebatan bagi setiap kesalahan, dengan hukuman penjaranya berjalan serentak.

Di peringkat rayuan, Mahkamah Tinggi meminda tuduhan kepada mencabul kehormatan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/28/denda-ringan-rm20000-kes-guru-cabul-murid-hantar-mesej-negatif-kata-aktivis/

BACA: Vaksin Pfizer dilapor tingkatkan risiko radang jantung

COMMENTS

Wordpress (0)