Guna kuasa untuk bubar parti seteru tindakan terdesak pemimpin diktator

Dakwaan Datuk Lokman Norr Adam bahawa UMNO telah diugut akan dibubarkan sekiranya tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) adalah sangat serius dan perlu kepada campurtangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Saya mendesak siasatan terperinci berhubung dakwaan Datuk Lokman itu. Beliau seharusnya tampil membuat laporan polis dan SPRM kerana ia jelas mencemar nama baik Malaysia selain menghilangkan nilai demokrasi di negara ini. Datuk Lokman perlu buktikan dakwaan beliau itu sahih dan mendedahkan bentuk ugutan terbabit. Rakyat Malaysia berhak tahu pemimpin manakah yang mengugut, kaedah dan bentuk ugutan terbabit supaya pemimpin ini dapat ditolak dalam PRU ke 15.

Politik ugut dan ancam bukan budaya di Malaysia dan ia adalah langkah terdesak sesetengah pihak yang mahu mendapat keuntungan politik. Malaysia bukannya negara koboi, samseng atau kumpulan kongsi gelap, kartel dadah yang bermaharajalela dan boleh mengugut sesiapa sahaja. Mereka yang menggunakan kaedah ugut dan ancam adalah golongan penakut, selain menghina amalan demokrasi di Malaysia.

Menggunakan kuasa politik sebagai menteri untuk membubarkan mana-mana entiti politik tanpa sebab yang kukuh adalah tindakan politik kotor pemimpin diktator. Jika kelompok yang berkuasa itu benar-benar mendapat sokongan solid rakyat dan parti Perikatan Nasional, tidak perlu mengikat UMNO untuk menunjukkan kekuatan mereka. UMNO telah pun menunjukkan sikap mereka dengan tidak menyertai kerajaan PN. Mereka hanya mewakilkan Menteri, Ahli Parlimen, ADUN untuk menyokong kerajaan sekarang daripada rebah dan terus berkuasa. Justeru, tidak wajar UMNO dipaksa untuk terus mendokong kerajaan PN itu. Bukankah kerajaan PN akan terus kukuh dengan sokongan PAS-Bersatu tanpa UMNO dan telah dibuktikan dalam Pilihanraya Kecil Slim River. Apa yang perlu ditakutkan jika UMNO tidak menyertai PN dan mengapa pula mesti mendesak UMNO sehingga ada unsur ugutan terhadap mereka?

Selain itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri perlu menggunakan kekuatan diri tanpa mengharap belas ehsan UMNO. Beliau telah diterima dengan baik oleh majoriti rakyat Malaysia. Beliau juga sangat dipercayai oleh PAS dan Presiden PAS adalah orang pertama yang menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai PM. Oleh itu, apa yang perlu beliau gusarkan. Tanpa UMNO, sokongan PAS yang berjumlah jutaan ahli dan penyokong di seluruh pelusuk negara mampu memenangkan PN lagi akan datang selain Tan Sri Muhyiddin akan menjadi PM ke 9 sekali lagi.

Seharusnya Bersatu bertindak secara gentleman dengan memujuk dan mengajak UMNO sertai PN, bukan mengugut. Jika UMNO tetap berkeras dengan pendiriannya, Bersatu perlu bergerak ke hadapan dengan menumpukan pada PAS dan parti lain yang bersamanya. Dengan demikian, Bersatu mendapat habuan besar dengan bertanding di kerusi UMNO. Tanpa ugutan, UMNO pasti rebah jika bergerak sendirian, manakala gabungan parti dalam kerajaan PN pula akan cemerlang dengan kemenangan besar dalam PRU ke 15 nanti.

Sumber :