Guna dron jarak jauh untuk misi hantar vaksin

Sebuah firma penerbangan melaksanakan ujian pertama penghantaran jarak jauh menggunakan dron di India, dengan harapan mereka boleh menghantar bekalan ubat dan vaksin COVID-19 ke kawasan pedalaman.

Penggunaan meluas dron bakal mengubah senario perkhidmatan perubatan di kawasan pedalaman di negara Asia Selatan itu, yang menyaksikan penjagaan kesihatan adalah terhad akibat situasi jalan raya yang teruk, kata pakar.

Throttle Aerospace Systems adalah antara 20 syarikat yang diberi permit oleh kerajaan India sejak Mei lalu untuk melaksanakan ujian penerbangan melepasi had 450 meter yang ditetapkan ketika ini.

Dua dron, satu daripadanya boleh membawa berat muatan sehingga satu kilogram (kg) sejauh 20 kilometer (km) atau hampir sejam, dan satu lagi boleh membawa muatan seberat 2kg sejauh 15km, diuji di Karnataka semalam.

Penggunaan meluas dron bakal mengubah senario perkhidmatan perubatan di kawasan pedalaman di India. - Foto AFP

“Ubat adalah muatan yang dibawa dan… sejauh 2.5km dalam tempoh tujuh minit dan ia membawa bekalan perubatan ke lokasi ditetapkan sebelum dron itu kembali,” kata pengasas Throttle Aerospace Systems, Sebastian Anto kepada AFP di lokasi ujian.

Sebelum ini, kerajaan India turut membuka bidaan untuk pengoperasi dron membantu melaksanakan projek perintis bagi menghantar bekalan perubatan, dalam usaha meningkatkan usaha imunisasi COVID-19.

Akhbar harian The Hindu minggu lalu melaporkan Ketua Epidemiologi Majlis Penyelidikan Perubatan India, Samiran Panda, berkata teknologi boleh membantu usaha imunisasi kumpulan keutamaan di kawasan pedalaman.

“Kita perlu melaksanakan vaksinasi pintar berbanding imunisasi besar-besaran untuk mengekang pandemik,” katanya.

India dilihat ketinggalan dalam aspek dron berbanding negara lain, sama ada dari segi penggunaan atau kerangka perundangan.

Mengikut peraturan sedia ada, penggunaan dron hanya dihadkan dalam jarak 450 meter dari lokasi pengoperasi dron.

Di Jerman, penyelidik dilaporkan sedang menguji prototaip dron yang boleh mengesan mangsa bencana melalui jeritan mereka, manakala di Australia, dron yang menggunakan algoritma kecerdasan buatan (AI) sedang digunakan untuk mengesan buaya dan mengira koala di kawasan berbukit.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/06/830867/india-uji-dron-jarak-jauh-hantar-vaksin-covid-19

CATEGORIES