GPS kata Pas setuju tak tanding, Pas di Sarawak putuskan untuk bertanding

Mesyuarat Agung Pas kawasan Miri semalam mengambil ketetapan akan menyertai pilihan raya negeri (PRN) Sarawak walaupun Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini berkata Presiden Pas memberi jaminan parti itu tidak akan menyertainya.

Pesuruhjaya Pas Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, perwakilan Pas yang menyertai Mesyuarat Agung Pas kawasan Miri semalam memberikan sokongan yang memberangsangkan agar Pas menyertai PRN kali ini.

Mesyuarat Agung Tahunan Pas Miri yang diadakan tahun ini dalam suasana normal baru dengan mengambil kira wabak Covid-19 yang masih menular.

Kali ini Pas Miri juga memberi peluang kepada ahli yang tidak dapat menghadiri mesyuarat agung menyertainya secara dalam talian.

Mereka juga boleh mengikuti ucapan beliau yang juga Yang Dipertuan Pas Miri secara dalam talian.

“Hasrat Pas Sarawak untuk bertanding juga mendapat sokongan dan ahli Pas di Miri juga meningkat.

“Harapan dan aspirasi ahli dan penyokong Pas Sarawak untuk bertanding diterima dengan baik.

“Mereka memerlukan wakil yang dapat menyuarakan masalah penduduk tempatan,” kata Jofri dalam satu kenyataannya.

2 Julai lalu, Bernama melaporkan, seorang pemimpin Sarawak berkata Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas tidak akan bertanding di Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) akan datang dan sebaliknya akan menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Masing berkata jaminan itu diberikan sendiri oleh Presiden dan Pemangku Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mesyuarat semua pemimpin parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan sekutu GPS selama dua jam di Putrajaya pada 1 Julai.

“Jaminan ini bukan sahaja memberi laluan jelas kepada GPS untuk menentang pembangkang tetapi juga petanda baik bahawa parti komponen PN menghormati komitmennya untuk membantu GPS pada PRN nanti,” katanya dalam kenyataan di Kuching.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/mesyuarat-agung-kawasan-putuskan-pas-bertanding-di-sarawak/