Penerbit filem yang dikenali sebagai ‘godfather’ sinema Hong Kong, Raymond Chow, meninggal dunia pada usia 91 tahun, lapor media hari ini.
Beliau bertanggungjawab memperkenalkan legenda kung fu, Bruce Lee, ke layar perak.
Chow mengasaskan bersama studio Golden Harvest pada 1971 dan merupakan tokoh utama yang membawa filem bandar raya itu kepada penonton antarabangsa.
Sepanjang kerjayanya, beliau menerbitkan lebih daripada 170 filem, menurut laman web industri, IMDB, dan memupuk kerjaya beberapa bintang aksi termasuk Jackie Chan.
Chow mula bekerjasama dengan Lee menerusi filem ‘The Big Boss’ yang diterbitkan sebagai ‘Fists of Fury’ di Amerika Syarikat pada 1971,
menjadikan aktor itu legenda seni mempertahankan diri dalam sekelip mata.
Filem itu memecahkan rekod di Hong Kong dan luar negara.
Beliau kemudian menerbitkan atau menerbitkan bersama dua filem terbaik Lee, ‘Way of the Dragon’ pada 1972, diikuti setahun kemudian dengan ‘Enter the Dragon’, kerjasama sinema pertama antara studio Hong Kong dan Hollywood.
Chow mengulangi kejayaan dengan Chan, mula bekerjasama menerusi filem ‘The Young Master’ pada 1980.
Dilahirkan pada 1927 di Hong Kong, Chow mendapat pendidikan dalam kewartawanan di Shanghai dan bekerja sebagai wartawan sebelum menceburi bidang perfileman.