Geng Nicky : Seorang pegawai kanan Polis ditahan bawah SOSMA

Geng Nicky : Seorang pegawai kanan Polis ditahan bawah SOSMA

POLIS Johor menahan seorang pegawai kanan berpangkat Asisten Superintentenden Polis (ASP) bagi siasatan kes jenayah terancang Geng Nicky, lapor Utusan Malaysia.

Laporan itu menyebut, pegawai yang bertugas di satu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kuala Lumpur itu ditahan malam tadi dan dibawa ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor.

Laporan memetik sumber itu menyebut, pegawai berusia 40 tahun itu mengetuai satu bahagian di satu jabatan di IPD tersebut dan mula bertugas di kedudukan berkenaan pada Januari lalu.

Penahanan mengikut Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (SOSMA) 2012 itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim, menurut laporan tersebut.

Pegawai tersebut merupakan antara 34 nama anggota dan pegawai polis yang dikehendaki kerana disyaki menjadi tali barut kumpulan kumpulan jenayah terancang Geng Nicky.

Geng Nicky merupakan kumpulan yang didakwa diketuai ahli perniagaan Nicky Liow Soon Hee bergelar Datuk Seri yang dikehendaki bagi kes jenayah komersial dan pengubahan wang haram.

Usaha polis Johor itu mensasarkan lebih 34 orang anggota dan pegawai yang disyaki terlibat melindungi dan bersekongkol dengan kumpulan penjenayah itu.

Operasi tersebut diteruskan sewaktu pasukan itu bergelut dengan pertembungan kuasa melibatkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

Pergelutan kuasa itu diketahui umum selepas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mendedahkan wujud “kartel” pegawai polis yang cuba menjatuhkannya.

Menurutnya, usaha mengaibkan dan menjatuhkannya digerakkan kartel tersebut susulan tindakannya membanteras rasuah dalam pasukan berkenaan.

Seterusnya, timbul pertentangan di antara beliau dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin ekoran penangguhan saat akhir ke atas arahannya untuk menukar individu terbabit.

Arahan pertukaran itu bagaimanapun tetap dilaksanakan pada pertengahan bulan ini.

Serentak dengan itu pada 15 April, Abdul Hamid menyelar JIPS kerana menurutnya melindungi salah laku anggota dan pegawai.

Beliau memberitahu New Straits Times, tindakan jabatan itu menyebabkan siasatan sering menemui jalan buntu dan tiada tindakan diambil terhadap pegawai dan anggota yang disiasat.

Pada masa sama, polis Johor menegaskan tidak akan menyerahkan senarai nama pegawai dan anggotanya yang dipercayai bersekongkol dengan Geng Nicky, kepada JIPS.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan, pegawai tersebut sebaliknya akan terus didakwa di mahkamah.

Berita Penuh :https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/311822