Sultan Ibrahim, kakanda kepada Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dikenali sebagai seorang yang meminati pelbagai jenis masakan dan mahir dalam seni memasak.
Selain itu, baginda juga memiliki pelbagai kemahiran lain, termasuk dalam bidang permotoran dan aktiviti air.
Keperibadian Sultan Ibrahim
Sifat Sultan Ibrahim yang mesra rakyat mendorong baginda mencetuskan idea program Kembara Mahkota Johor sejak zaman bergelar Tunku Mahkota Johor.
Program ini bertujuan mendekatkan hubungan baginda dengan rakyat jelata.
Semasa bencana, khususnya banjir, Sultan Ibrahim sering menjadi antara individu terawal turun ke lapangan untuk melihat sendiri situasi yang melanda serta membantu rakyat Johor yang terjejas.
Baginda juga lantang bersuara mengenai isu kebersihan dan alam sekitar, selain sering menghulurkan bantuan berupa kotak makanan dan kampit beras kepada golongan miskin. Keprihatinan baginda terhadap kesulitan rakyat, terutama berkaitan peningkatan kos sara hidup, menjadi bukti kasih sayang baginda kepada rakyat jelata.
Di samping itu, Sultan Ibrahim sering dilihat singgah di gerai dan kedai makan di seluruh daerah Johor, sebagai tanda keakraban dan sokongan kepada peniaga tempatan.
Hari ini, baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan akan bersemayam di Istana Negara selama lima tahun.
Hobi Unik Sultan Ibrahim
Antara hobi menarik Sultan Ibrahim ialah mengumpul koleksi lebih 200 tongkat kayu dengan pelbagai reka bentuk dan saiz. Koleksi ini dihasilkan oleh pembuat tempatan dan setiap tongkat dihiasi lambang khas ‘SI’ yang membawa maksud Sultan Ibrahim.
Bahan utama tongkat-tongkat tersebut terdiri daripada kayu-kayu unik seperti kayu cendana, kayu giam, papan lantai kayu dari istana lama, serta kayu landasan kereta api. Hobi ini mencerminkan minat baginda terhadap seni kraf tempatan dan sejarah.
Sultan Ibrahim bukan sahaja seorang raja yang dekat dengan rakyat, tetapi juga seorang individu yang berjiwa seni dan penuh keprihatinan terhadap budaya serta kesejahteraan masyarakat.
BACA:Kejap UMNO, kejap PKR, lepas tu UMNO balik, sekarang Adun Rembia masuk Pas pula