Gempar !!! Tarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dijangka jadi agenda mesyuarat Umno esok

Gempar !!! Tarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dijangka jadi agenda mesyuarat Umno esok

Rabu ini, 6 Januari merupakan tarikh penting bagi UMNO dalam menentukan hala tuju serta masa depannya.

Pada hari tersebut akan berlangsung mesyuarat MT UMNO untuk membincangkan tindakan susulan selepas majoriti UMNO bahagian-bahagian yang bersidang pada 1 hingga 3 Januari lalu meluluskan usul menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu.

Selain mesyuarat MT UMNO, pada tarikh tersebut juga difahamkan akan berlangsung perjumpaan semua Ketua-Ketua UMNO bahagian seluruh negara dengan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

Ia dipercayai untuk Zahid Hamidi mendengar sendiri suara Ketua-Ketua UMNO bahagian berhubung kedudukan serta kerjasama parti itu dengan Bersatu dan keberadaan mereka dalam kerajaan PN.

Mengikut logiknya, setelah 189 daripada 191 UMNO bahagian seluruh negara meluluskan usul menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Bersatu, ia seharusnya disusuli dengan tindakan segera menarik diri daripada kerajaan PN dan menamatkan sokongan terhadap Muhyiddin Yassin.

Menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam GLC juga harus meletak jawatan serta-merta kerana mereka itu turut pemimpin UMNO yang bersetuju dengan usul menolak kerjasama dengan Bersatu di bahagian yang mereka terajui.

Kecuali jika mereka ingin keluar UMNO dan menyertai Bersatu, maka barulah ada munasabahnya untuk terus memegang jawatan dalam kerajaan yang disandang sekarang.

Hakikatnya, setelah enggan bekerjasama dengan Bersatu dan mendesak mahukan PRU segera, tiada tindakan lain yang lebih sesuai dan wajar diambil oleh UMNO, melainkan meletak jawatan sesegera yang boleh tanpa menunggu mata berkelip lebih daripada sekali.

Tentu saja tidak masuk akal jika setelah meluluskan usul menolak Bersatu, tetapi para pemimpin UMNO masih lagi bermuka tebal tercongok dalam kerajaan yang diketuai oleh Muhyiddin yang merupakan Presiden Bersatu.

Malu beb, macam tak ada maruah dibuatnya!!

Macam suami isteri yang selalu bergaduh dan kerap mengatakan ingin bercerai, sambil memburukkan pasangan masing-masing kepada jiran tetangga, tentulah tiada maruah jadinya jika mereka masih tinggal serumah dan tidur sekatil lagi.

Begitu juga dengan hubungan UMNO dengan Bersatu ini, tiada pilihan lain melainkan bercerai saja keputusan paling sesuai untuk diambil, tidak kira sama ada tindakan itu akan menyebabkan PRU semula diadakan atau terbentuknya sebuah kerajaan baharu.

Segala-galanya terpulang kepada kebijaksanaan Yang Dipertuan Agong membuat pertimbangan sama ada memperkenankan permohonan PRU yang akan dikemukakan oleh Muhyiddin setelah kerajaannya tumbang atau mempertimbangkan pembentukan kerajaan baharu berikutan Covid19 belum lagi mereda.

Tetapi, kepada UMNO khususnya, jika pada Rabu ini tiada keputusan meninggalkan kerajaan dan menarik sokongan kepada Muhyiddin diambil, ia dengan sendirinya akan menyebabkan reputasi parti itu jadi menipis dan tidak lagi dipercayai ramai.

Ia seterusnya akan membawa kepada hilangnya kepercayaan, keyakinan dan sokongan di kalangan rakyat atau pengundi kepada parti itu dalam PRU yang diadakan kemudiannya.

UMNO akhirnya menjadi parti yang dianggap main-main, tidak serius dan lebih mementingkan kedudukan berbanding perjuangan.

Oleh itu, sama ada mungkin berlaku PRU atau terbentuk kerajaan baharu, pilihan tunggal yang ada pada MT UMNO Rabu ini cuma satu iaitu perlu perlu membuat keputusan menarik sokongan dan menjatuhkan Muhyiddin.

Tiada alasan sama sekali untuk melengah-lengahkan tindakan dan berada lebih lama dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin yang UMNO sendiri telah tolak dan tidak mahu bekerjasama dengannya.

Sumber : https://shahbudindotcom.net/2021/01/04/tarik-sokongan-jatuhkan-muhyiddin-pilihan-tunggal-mt-umno-rabu-ini.html