Syarikat bawa masuk pekerja asing tanpa jalani ujian Covid-19

Polis Melaka menyiasat syarikat agensi pekerja asing beralamat di Petaling Jaya, Selangor yang didapati membawa masuk 79 pekerja asing ke negeri ini, dan gagal membuat saringan ujian Covid-19.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, pada 1 Julai lalu, kira-kira 8.30 pagi pihaknya menerima laporan terdapat 51 kes positif Covid-19 membabitkan pekerja asing itu di sebuah kilang di kawasan perindustrian Ayer Keroh.

“Hasil siasatan mendapati kesemua mereka dibawa masuk bekerja di kilang itu oleh syarikat berkenaan tanpa menjalani saringan seperti mana peraturan yang ditetapkan.

syarikat

“Pihak pengurusan syarikat dan ejen pekerja asing itu akan dipanggil untuk membantu siasatan manakala 51 pekerja berkenaan kini diasingkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Hotel Imperial Heritage,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Abdul Majid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana dengan niat jahat untuk merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa dan juga Peraturan 13 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Katanya, sekiranya didapati bersalah syarikat itu boleh disabitkan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya bagi kesalahan di bawah Peraturan 13 (1) PPDPP Pelan Pemulihan Negara 2021 dan boleh dikompaun sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/07/728530/polis-melaka-siasat-syarikat-bawa-masuk-pekerja-asing-tanpa-jalani-ujian

BACA JUGA : Panas !!! Mahathir dedah apa sebenarnya berlaku dalam Umno